Politik 29/11/2026 06:37 PM

PRN Sarawak: SEZ Taruhan Baharu Kembalikan Kegemilangan Ekonomi Sibu

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
PRN Sarawak: SEZ Taruhan Baharu Kembalikan Kegemilangan Ekonomi Sibu
Pemandangan pusat bandar Sibu --fotoBERNAMA (2026) COPYRIGHT RESERVED

Oleh Ahmad Erwan Othman

SIBU, 29 Nov (Bernama) -- Pernah gah sebagai nadi perdagangan dan ekonomi berasaskan kayu balak, Sibu kini mengorak langkah meneroka pemacu pertumbuhan baharu agar terus seiring dengan kepesatan bandar-bandar lain di Sarawak.

Biarpun sektor pembinaan kapal, pelancongan, pertanian serta perdagangan dan perkhidmatan kekal menggerakkan ekonominya, bandar ini menuntut asas yang lebih kukuh bagi kekal berdaya saing dan menjana peluang berkualiti buat generasi muda.

Justeru, pembangunan Zon Ekonomi Sibu (SEZ) dilihat sebagai pemangkin baharu untuk merancakkan kemasukan pelaburan, memperluas sektor industri dan mencipta peluang pekerjaan, sekali gus mengembalikan kegemilangan bandar di tebing Sungai Rajang itu sebagai hab pertumbuhan wilayah tengah Sarawak.

Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Assek Joseph Chieng Jin Ek, 51, berkata projek pembangunan semula Bukit Assek perlu diselaraskan dengan SEZ bagi memacu kemasukan pelaburan dan melonjakkan ekonomi setempat.

Beliau berkata pemberian insentif cukai, termasuk kemungkinan pengecualian cukai bagi projek tertentu, mampu menjadi tarikan utama kepada pelabur tempatan dan antarabangsa untuk mempercepat pelaksanaan rancangan berkenaan.

“Jika kita dapat menyediakan insentif cukai bagi pembangunan semula Bukit Assek, ia akan mempercepat kemajuan projek itu, khususnya dalam menarik lebih banyak pelabur,” katanya kepada Bernama ketika ditemui sewaktu berkempen di Pasar Sentral Sibu di sini hari ini.

Pelan induk pembangunan semula Bukit Assek seluas kira-kira 329 hektar merangkumi penambahbaikan infrastruktur sistem saliran, pengurusan banjir dan penyusunan semula bandar berpotensi mencetuskan kegiatan ekonomi baharu, namun kejayaannya tetap bergantung pada keberkesanan pelaksanaan serta keupayaan menarik pelaburan sebenar.

Sementara itu, usahawan tempatan Dr Gregory Hii Sui Cheng berpendapat lonjakan ekonomi Sibu perlu dipacu oleh industri berimpak tinggi, sektor pertanian bernilai tambah serta prasarana yang mampu menghubungkan bandar itu ke pasaran lebih luas.

Pengerusi Eksekutif Delta Leasing Berhad itu berpandangan langkah menambah baik kemudahan pengangkutan dan kesalinghubungan, termasuk laluan sungai serta udara, amat penting bagi melancarkan urusan perniagaan dan menarik pelabur supaya Sibu tidak terus ketinggalan berbanding pusat ekonomi lain di negeri ini.

Dalam pada itu, calon DAP bagi DUN Bawang Assan Alice Lau Kiong Yieng berkata pembangunan dan kemajuan juga perlu disertai usaha memastikan masyarakat setempat mendapat manfaat, khususnya menerusi akses kepada bantuan kebajikan, pendidikan dan kesihatan.

Beliau berkata pengalaman selama 13 tahun sebagai Ahli Parlimen Lanang membolehkannya memahami keperluan penduduk menerusi pendekatan bantuan yang merangkumi pendidikan, pesakit memerlukan rawatan termasuk dialisis dan penyakit kritikal, golongan Orang Kurang Upaya (OKU), wanita serta bantuan kematian.

“Pengalaman ini saya harap dapat dibawa ke Bawang Assan sekiranya diberi peluang. Kita bukan sekadar bercakap, tetapi menggunakan peruntukan yang ada untuk membantu rakyat,” katanya yang berharap limpahan ekonomi SEZ turut dinikmati penduduk di DUN berkenaan.

Perubahan landskap ekonomi itu turut dirasai pekerja industri pembaikan kapal Steward Gunggok Datok, 26, yang bertugas di sebuah limbungan kapal di Sungai Bidut, di seberang Sungai Rajang.

Mengakui industri pembaikan kapal yang pernah menjadi antara sumber pekerjaan penting di Sibu kini tidak lagi semeriah dahulu, beliau berharap SEZ mampu membawa nafas baharu untuk merancakkan ekonomi serta memajukan bandar itu seperti daerah utama lain.

Pekerja swasta Maxwell Atan anak Hillary Saing, 30, pula mengharapkan pembangunan SEZ bukan sekadar memacu kemunculan industri baharu, tetapi turut memberi impak langsung kepada peluang pekerjaan dan peningkatan kuasa beli penduduk.

Berasal dari Machan berdekatan Sibu, beliau berharap limpahan ekonomi SEZ mampu menjamin periuk nasi golongan belia sepertinya agar mereka tidak lagi terpaksa berhijrah keluar dari bandar itu demi mencari rezeki.

SEZ yang dirancang dengan peruntukan awal RM1.5 bilion menyasarkan sektor bernilai tinggi meliputi pembuatan, industri hiliran, agroindustri, logistik dan ekonomi hijau, di samping memacu pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) melalui rantaian bekalan baharu.

Namun, kejayaan inisiatif mega tersebut tidak boleh diukur berdasarkan angka pelaburan yang diumumkan semata-mata, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada operasi perniagaan sebenar, penciptaan pekerjaan berkualiti, peningkatan pendapatan isi rumah serta keupayaan mengekalkan bakat tempatan.

Berdasarkan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (MyCensus 2020) oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), populasi penduduk kawasan Parlimen Sibu berjumlah 141,574 orang, merangkumi kaum Cina sebanyak 53.0 peratus, bumiputera (46.6 peratus), India (0.1 peratus) dan lain-lain (0.3 peratus).

Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 menyaksikan pengundian awal ditetapkan pada 8 Dis, manakala hari pengundian berlangsung pada 12 Dis ini.

Dapatkan berita terkini PRN Sarawak ke-13 menerusi https://election.bernama.com/prn/sarawak/2026/. 

-- BERNAMA