Am 29/11/2026 06:28 PM

Pemain Industri, Penjual Perlu Pastikan Produk Patuhi Piawaian SIRIM

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Pemain Industri, Penjual Perlu Pastikan Produk Patuhi Piawaian SIRIM
Liew Chin Tong

PUTRAJAYA, 29 Nov (Bernama) -- Pemain industri dan penjual perlu memastikan semua produk yang dipasarkan mempunyai kelulusan serta mematuhi piawaian SIRIM bagi menjamin keselamatan pengguna, kata Timbalan Menteri Kewangan Liew Chin Tong.

Beliau berkata setiap peniaga sama ada melalui premis fizikal atau platform e-dagang perlu memainkan peranan dengan hanya menjual barangan yang diiktiraf tahap keselamatannya bagi mengelak kejadian tidak diingini.

"Saranan saya kepada SIRIM dan Suruhanjaya Tenaga (ST) ialah bukan sahaja kita mempromosikan idea 'Ada SIRIM, Baru Beli', tetapi juga mempromosikan idea 'Ada SIRIM, Baru Jual'.

"Adalah penting untuk penjual memastikan apa sahaja yang dijual di platform e-dagang atau di kedai fizikal mematuhi piawaian SIRIM kerana peralatan elektrik yang tidak mematuhi standard ini boleh membawa risiko kebakaran yang lebih tinggi," katanya ketika berucap merasmikan Karnival Ada SIRIM, Baru Beli! di sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi SIRIM Berhad Datuk Dr Khairol Anuar Mohamad Tawi serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SIRIM Berhad Nik Sazali Nik Hussin.

Dalam sidang media berasingan, beliau berkata penjual perlu mempunyai kesedaran dan tanggungjawab moral dalam menjual produk-produk mereka kepada pengguna.

“Sekiranya (dijual) tanpa SIRIM, apabila kebakaran dan sebarang insiden berlaku, mereka (penjual perlu) ada tanggungjawab moral.

“Kita ingin memastikan ada kesedaran di antara penjual dan ada kerjasama daripada platform-platform e-dagang untuk memastikan hanya produk yang diiktiraf ataupun yang mematuhi piawaian SIRIM dan piawaian Suruhanjaya Tenaga dijual di pasaran,” katanya.

Karnival selama tiga hari bermula Jumaat lepas dengan kerjasama ST sebagai rakan strategik serta sokongan Persatuan Peniaga Barang Elektrik Selangor dan Wilayah Persekutuan (SWEDA) itu berjaya menarik kehadiran kira-kira 13,000 pengunjung.

-- BERNAMA