Am 29/11/2026 06:11 PM

Balik Pulau Sebagai Lokasi Yakin MADANI Perkasa Pembangunan Luar Bandar - Chow

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Balik Pulau Sebagai Lokasi Yakin MADANI Perkasa Pembangunan Luar Bandar - Chow
Ketua Menteri Pulau Pinang Chaw Kon Yeow menyampaikan ucaptama pada Program Yakin MADANI 2026 peringkat Pulau Pinang di Kompleks Sukan Balik Pulau hari ini.

BALIK PULAU, 29 Nov (Bernama) -- Pemilihan Balik Pulau sebagai lokasi penganjuran Program Yakin MADANI Pulau Pinang membawa mesej penting bahawa pembangunan negeri tidak harus hanya tertumpu di kawasan bandar dan pusat perindustrian, sebaliknya perlu meliputi kawasan luar bandar.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata Balik Pulau mempunyai identiti dan keistimewaan tersendiri menerusi warisan budaya, keindahan alam semula jadi, kegiatan pertanian, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta semangat komuniti yang menjadi kekuatan masyarakat setempat.

“Pulau Pinang mengetengahkan Balik Pulau sebagai lokasi penganjuran Program Yakin MADANI membawa makna cukup besar kerana kita mahu memastikan pembangunan Pulau Pinang turut merangkumi kawasan luar bandar seperti Balik Pulau.

“Pembangunan yang inklusif bermaksud setiap kawasan mempunyai peluang untuk maju dan setiap rakyat mempunyai ruang untuk menikmati hasil pembangunan,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Program Yakin MADANI Pulau Pinang di Kompleks Sukan Balik Pulau di sini hari ini. 

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan majlis itu.

Bagi pihak kerajaan negeri, Chow merakamkan penghargaan kerana pemilihan Pulau Pinang sebagai antara lokasi siri jelajah program itu bersama-sama Negeri Sembilan sebelum ia diteruskan ke Perak dan Sabah manakala majlis kemuncak akan berlangsung di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Chow berkata penganjuran program itu mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI untuk mendekati rakyat, mendengar suara masyarakat dan memastikan manfaat pembangunan dapat dirasai semua lapisan penduduk.

Program Yakin MADANI Pulau Pinang yang diterajui Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dengan kerjasama kerajaan negeri bertujuan mendekatkan kerajaan dan masyarakat melalui penyampaian maklumat, perkongsian inisiatif serta penyediaan perkhidmatan secara langsung.

Dengan sasaran kehadiran 100,000 pengunjung, program dua hari bermula semalam menawarkan pelbagai aktiviti termasuk pertandingan e-sukan, pameran aset kerajaan, pertukaran topi keledar percuma, pertukaran minyak hitam motosikal, fun walk, pertandingan mencipta logo, pound fitness, sukan rakyat, aktiviti Rakan Muda, passport hunting, kempen antibuli serta Malam Ukhuwah.

Mengenai empat tahun pentadbiran Kerajaan MADANI, Chow berkata kerajaan mengambil alih pentadbiran negara dalam keadaan mencabar termasuk tekanan ekonomi, peningkatan kos sara hidup serta keperluan memperkukuh kedudukan kewangan negara dan memperbaiki tatakelola serta integriti pentadbiran.

“Kekuatan pendekatan MADANI terletak pada penekanan terhadap pembangunan yang bukan sahaja mengejar pertumbuhan ekonomi tetapi turut memberikan perhatian kepada kesejahteraan rakyat, kebajikan sosial, kemampanan dan keharmonian masyarakat,” katanya.

Sementara itu, Chow berkata golongan Generasi Z dan Alpha perlu diberikan ruang untuk memainkan peranan lebih besar dalam mencorakkan masa depan negeri dan negara.

“Kita tidak mahu anak muda hanya menjadi pemerhati kepada pembangunan negara. Kita mahu mereka menjadi sebahagian daripada pembuat keputusan, pencetus inovasi, penggerak ekonomi dan memimpin masyarakat,” katanya.

-- BERNAMA