Am 29/11/2026 06:18 PM

Karnival Ada SIRIM, Baru Beli! Jadi Platform Lahirkan Pengguna Cakna Aspek Keselamatan

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Karnival Ada SIRIM, Baru Beli! Jadi Platform Lahirkan Pengguna Cakna Aspek Keselamatan
fb SIRIM Berhad

PUTRAJAYA, 29 Nov (Bernama) -- Karnival Ada SIRIM, Baru Beli! kini menjadi platform penting dalam melahirkan pengguna yang bukan sahaja mempunyai kuasa membeli malah berpengetahuan untuk menilai, mengenal pasti dan membuat pilihan produk yang selamat serta berkualiti.

Pengerusi SIRIM Berhad Datuk Dr Khairol Anuar Mohamad Tawi berkata karnival pengguna berskala besar pertama dianjurkan SIRIM itu merekodkan pencapaian penting dalam usaha memperkukuh kesedaran masyarakat mengenai keselamatan dan kepentingan membeli produk yang diperakui.

Beliau berkata karnival tiga hari bermula Jumaat lepas itu mendapat sambutan menggalakkan dengan kehadiran kira-kira 13,000 pengunjung selain menerima lebih dua juta jangkauan melalui platform media sosial.

“Ia menunjukkan peningkatan yang signifikan dalam penyebaran mesej dan kesedaran awam berkaitan pemilihan produk yang selamat dan diperakui,” katanya ketika berucap pada Karnival Ada SIRIM, Baru Beli! yang dirasmikan Timbalan Menteri Kewangan Liew Chin Tong di sini hari ini.

Turut hadir Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SIRIM Berhad Nik Sazali Nik Hussin serta Presiden, Persatuan Peniaga Peralatan Elektrik Rumah Selangor dan Wilayah Persekutuan (SWEDA) Yap Ming Sin.

Sementara itu, Khairol Anuar berkata jumlah pengguna aplikasi MYSIRIM yang dibangunkan agensi itu telah meningkat hampir 50 peratus iaitu daripada 85,000 muat turun kepada lebih 126,000 muat turun.

“Justeru, saya berharap momentum yang telah diwujudkan melalui karnival ini akan berterusan. Jadilah pengguna yang bijak dengan sentiasa mengamalkan konsep ‘Semak dulu, Sahkan, Barulah membuat Pembelian’.

“Jadikan aplikasi MYSIRIM sebagai rujukan utama dalam memastikan produk yang dibeli adalah produk yang telah diperakui dan selamat digunakan,” katanya.

Beliau berkata SIRIM terus komited memainkan peranan sebagai peneraju dalam bidang pengujian dan pensijilan serta menyokong usaha memperkukuh keyakinan pengguna dan daya saing industri negara selaras dengan mandat sebagai agensi pelaksana oleh semua agensi penguat kuasa seperti Suruhanjaya Tenaga.

-- BERNAMA