Am 29/11/2026 06:04 PM

Ahmad Zahid Antara Penerima Notifikasi Amaran MySiren

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Ahmad Zahid Antara Penerima Notifikasi Amaran MySiren
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ditemui pemberita pada Majlis Perasmian Sama' Hadis Riyadus Solihin dan Ijtimak Pondok Nusantara di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA). -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

KUALA NERUS, 29 Nov (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi  antara penerima notifikasi ujian Sistem Amaran Awal Nasional (MySiren) yang dilaksanakan secara serentak di seluruh negara pagi ini.

Ujian berkenaan diadakan bagi menguji keupayaan sistem itu menyalurkan notifikasi kecemasan secara pantas kepada telefon bimbit pengguna.

Ahmad Zahid yang berada di Dewan Al-Muktafi Billah Shah, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini, dilihat memeriksa telefon bimbitnya sejurus menerima notifikasi amaran berkenaan ketika menghadiri Majlis Perasmian Sama’ Hadis Riyadus Solihin bersama-sama Sheikh Dr Ali Muhyeldin Al Qaradaghi dan Ijtimak Pondok Nusantara, hari ini.

"MySiren ialah satu inisiatif yang dilaksanakan oleh Kementerian Komunikasi. Tepat 10.10 pagi tadi, siren itu telah dibunyikan di seluruh negara dan ini ujian pertama yang dilaksanakan.

"Mungkin tidak semua orang dapat mendengar bunyi siren dengan jelas, perkara itu akan saya bincangkan dengan Menteri Komunikasi apabila bertemu dengannya, selewat-lewatnya pada Jumaat ini ketika mesyuarat Jemaah Menteri," katanya selepas majlis perasmian itu. 

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas maklum balas sebahagian orang ramai yang berada di dalam dewan itu, yang mendakwa tidak dapat mendengar bunyi siren ketika ujian pertama sistem berkenaan dilaksanakan.

Orang ramai hari ini mula menerima notifikasi kecemasan menerusi ujian MySiren yang dilaksanakan secara serentak di seluruh negara bermula 10.10 hingga 10.30 pagi ini.

-- BERNAMA