Am 29/11/2026 06:00 PM

Hujan Lebat Tidak Halang Rakyat Kunjungi Yakin MADANI P. Pinang, Teruja Jumpa PM

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Hujan Lebat Tidak Halang Rakyat Kunjungi Yakin MADANI P. Pinang, Teruja Jumpa PM
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba bagi menghadiri majlis penutupan Program Yakin MADANI 2026 peringkat Pulau Pinang di Kompleks Sukan Balik Pulau.

Oleh Siti Azila Alias

BALIK PULAU, 29 Nov (Bernama) -- Program Yakin MADANI Pulau Pinang yang melabuhkan tirai hari ini bukan sahaja menjadi platform mendekatkan perkhidmatan kerajaan kepada rakyat, malah turut meraih sambutan positif daripada masyarakat pelbagai lapisan usia dan kaum.

Meskipun hujan lebat pada sebelah petang, keadaan itu tidak menghalang orang ramai daripada terus mengunjungi Kompleks Sukan Balik Pulau di sini bagi mendapatkan maklumat serta mengikuti pelbagai aktiviti menarik yang disediakan.

Kemeriahan program itu turut diserikan dengan kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mencetuskan keterujaan dalam kalangan pengunjung, khususnya mereka yang kali pertama bertemu dan bersalaman dengan beliau.

Suasana harmoni dan semangat perpaduan turut terserlah apabila masyarakat berbilang kaum memeriahkan program berkenaan, dengan ada yang hadir bersama-sama ahli keluarga dan rakan-rakan, selain rombongan pelajar sekolah.

Rata-rata pengunjung yang ditemui menyifatkan penganjuran program itu sebagai inisiatif bermanfaat dalam meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai pelbagai bantuan, kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan kerajaan, di samping menjadi wadah untuk mengeratkan hubungan antara kaum.

Jurutera Mohd Ismail Mohd Ali, 41, dari Teluk Bahang berkata dia mengambil kesempatan mengunjungi program itu bersama-sama ibu, isteri dan empat anak bagi mendapatkan informasi, selain mendedahkan anak-anak kepada pelbagai inisiatif kerajaan.

“Banyak pengisian disediakan untuk anak-anak dan keluarga. Kita juga boleh tukar al-Quran dan dapatkan maklumat mengenai MyDigital. Dengan adanya program macam ini, apa yang kita tak tahu sebelum ini, kita boleh tahu dan dapat banyak maklumat bermanfaat.

“Saya juga rasa gembira bila tengok masyarakat pelbagai kaum datang memeriahkan program ini. Kita dapat lihat masyarakat kita hidup dalam suasana harmoni,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, pekerja swasta Margaret Mary Alfred, 58, menyifatkan pemilihan Balik Pulau sebagai lokasi penganjuran program memberikan kelebihan kepada penduduk setempat untuk mendapatkan pelbagai maklumat dan perkhidmatan kerajaan di satu lokasi.

Dia berkata kepelbagaian pengisian disediakan bukan sahaja memenuhi keperluan masyarakat, malah memudahkan orang ramai mendapatkan maklumat mengenai pelbagai perkhidmatan yang ditawarkan.

“Penduduk Balik Pulau memang beruntung dapat program seperti ini. Kalau kerap diadakan, bagus juga kerana boleh mengeratkan silaturahim antara pelbagai kaum,” katanya.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Al-Mashoor, Muhammad Fahim Muhaimin Mohd Faizal, 16, pula berkata kunjungan bersama-sama rakan sekolahnya bukan sahaja menambah pengetahuan, malah mencipta kenangan manis apabila berpeluang bersalaman dengan Perdana Menteri.

“Saya terkejut dan teruja sebab ini kali pertama saya dapat berjumpa dengan Perdana Menteri. Sebelum ini selalu tengok di televisyen sahaja tetapi hari ini dapat bersemuka dengan beliau,” katanya.

 Bertemakan “Memaknai Harapan Rakyat”, program anjuran Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), Pejabat Perdana Menteri selama dua hari bermula semalam itu diterajui Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Pulau Pinang merupakan antara lima lokasi terpilih di seluruh negara bagi penganjuran program berkenaan yang bermatlamat memastikan maklumat serta manfaat dasar dan inisiatif kerajaan sampai kepada segenap lapisan masyarakat.

Dengan sasaran kehadiran 100,000 pengunjung, program itu menawarkan pelbagai pengisian termasuk inisiatif penjimatan kos sara hidup, pemeriksaan kesihatan, pendaftaran MyDigital ID, Karnival Kerjaya MYFutureJobs, pameran aset kerajaan, pertukaran topi keledar percuma serta aktiviti kekeluargaan dan sukan rakyat.

-- BERNAMA