Am 29/11/2026 06:07 PM

Yakin MADANI Pulau Pinang: Kenduri Onz Semarakkan Perpaduan, Erat Hubungan

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Yakin MADANI Pulau Pinang: Kenduri Onz Semarakkan Perpaduan, Erat Hubungan
Orang ramai tidak melepaskan peluang beratur sejak awal pagi bagi memeriahkan kenduri rakyat 'Kenduri Onz' sempena Program Yakin MADANI di Kompleks Sukan Balik Pulau, hari ini. Program Yakin MADANI bertemakan "Memaknai Harapan Rakyat" yang menyasarkan kehadiran 100,000 pengunjung itu berlangsung selama dua hari bermula semalam, diterajui Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

BALIK PULAU, 29 Nov (Bernama) -- Suasana harmoni masyarakat berbilang kaum terserlah dengan orang ramai sanggup beratur sejak awal pagi bagi memeriahkan kenduri rakyat “Kenduri Onz” sempena Program Yakin MADANI Pulau Pinang di Kompleks Sukan Balik Pulau di sini hari ini.

Meskipun kenduri itu hanya bermula pada 12 tengah hari, pengunjung pelbagai peringkat usia dilihat tidak melepaskan peluang beratur untuk mendapatkan kupon makanan, sekali gus memeriahkan suasana program berkenaan.

Hidangan nasi putih bersama ayam masak merah, kubis goreng dan telur masak kurma serta teh tarik dan buah-buahan melengkapkan suasana kenduri yang cukup sinonim dengan budaya masyarakat Malaysia.

Ketua Unit Komunikasi Korporat dan Inovasi Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Pulau Pinang Saiful Syarizal Yaakob berkata menerusi inisiatif kerajaan negeri itu, hidangan kenduri disediakan untuk hampir 3,000 pengunjung yang berpeluang menjamu selera bersama-sama pimpinan Kerajaan Persekutuan dan negeri.

“Objektif diadakan kenduri ini adalah kita nak mendekatkan rakyat dengan pemimpin. Jadi rakyat dan pemimpin akan duduk bersama, makan bersama supaya lebih erat hubungan.

“Kita pernah buat sebelum ini tetapi kali ini kita buat pada skala yang lebih besar supaya kita dapat memberikan manfaat kepada rakyat yang ramai,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata kenduri rakyat itu terbuka kepada semua pengunjung tanpa perlu membuat pendaftaran awal, sebaliknya mereka hanya perlu beratur untuk mengambil makanan.

Saiful Syarizal berkata kerajaan negeri berharap rakyat Pulau Pinang dapat memanfaatkan sepenuhnya penganjuran Program Yakin MADANI yang turut menawarkan pelbagai aktiviti menarik serta perkhidmatan kerajaan.

Sementara itu, Aliza Ghazali, 51, dari Kampung Masjid berkata beliau bersama empat rakan sekampung mula beratur sejak 10 pagi dan tidak menyangka sambutan terhadap kenduri berkenaan begitu meriah.

“Saya tahu program ini daripada MPKK (Majlis Pengurusan Komuniti Kampung) dan perkongsian di media sosial. Selain nak makan kenduri, memang tujuan utama kami datang nak jumpa Perdana Menteri, tapi tak sangka ramai betul yang datang hari ini.

“Seronok tengok orang Melayu, Cina dan India sama-sama beratur nak makan kenduri. Tadi masa jalan-jalan pun mereka saling menegur, tanya mana yang tak faham dan kita pun bersembang. Bagus buat program macam ini, dapat juga kita kenal dan rapatkan hubungan antara kaum,” katanya.

Bagi Hia Lai Hooi, 59, keterujaan untuk menikmati hidangan kenduri serta melihat sendiri pelbagai aktiviti anjuran kerajaan mendorongnya datang seawal pagi bersama dua rakannya dengan menaiki bas perantara dari Komtar pada 8.10 pagi.

“Kami datang awal sebab takut kalau datang lambat nanti sesak. Memang seronok tengok suasana di sini, meriah, ramai orang datang dan dapat juga jumpa Perdana Menteri.

“Bagus ada kenduri macam ini, tak kira apa bangsa atau agama, semua boleh datang dan makan bersama-sama,” katanya.

Program Yakin MADANI bertemakan “Memaknai Harapan Rakyat” yang menyasarkan kehadiran 100,000 pengunjung itu berlangsung selama dua hari bermula semalam, diterajui Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri majlis penutupan program yang menawarkan pelbagai inisiatif kerajaan, tawaran penjimatan kos sara hidup, peluang pekerjaan dan aktiviti kekeluargaan itu hari ini.

-- BERNAMA