Am 29/11/2026 05:46 PM

Program Literasi Digital Untuk Enam Kampung Orang Asli Dirancang - Gobind

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Program Literasi Digital Untuk Enam Kampung Orang Asli Dirancang - Gobind
Menteri Digital Gobind Singh Deo

KUALA KUBU BHARU, 29 Nov (Bernama) -- Kementerian Digital bercadang melaksanakan program berkaitan teknologi digital melibatkan enam kampung Orang Asli di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu pada suku pertama tahun depan.

Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata program itu bertujuan memperkenalkan teknologi baharu serta meningkatkan pengetahuan masyarakat Orang Asli mengenai cara memanfaatkan teknologi digital.

Beliau berkata usaha itu selaras dengan peranan Kementerian Digital untuk memastikan semua rakyat, termasuk masyarakat Orang Asli mempunyai pengetahuan mengenai teknologi digital dan mampu memanfaatkannya.

“Saya telah memberikan cadangan agar dalam suku pertama tahun depan kita dapat membawa bersama semua kampung Orang Asli di dalam DUN ini. Saya dimaklumkan ada enam kampung Orang Asli keseluruhannya,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Program Santuni MADANI YB Menteri Digital di Kampung Orang Asli Gerachi Jaya di sini hari ini.

Gobind berkata Program Santuni MADANI turut memberi peluang kepada kementerian dan agensi kerajaan untuk turun padang, melihat sendiri keperluan masyarakat luar bandar serta mengenal pasti bentuk bantuan yang boleh disalurkan.

Beliau turut berharap pelajar yang menerima komputer riba dan tablet menerusi program berkenaan dapat menggunakan kemudahan itu dengan bijak, memberi tumpuan kepada pelajaran serta meningkatkan pengetahuan bagi mencapai kejayaan dalam pengajian.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kubu Baharu Pang Sock Tao berkata Program Santuni MADANI merupakan inisiatif yang membolehkan pemimpin dan agensi kerajaan mendekati masyarakat setempat bagi memahami keperluan penduduk selain memastikan kemudahan dan kesejahteraan mereka terus dipertingkatkan.

“Kalau kita hanya bergantung kepada ADUN ataupun kerajaan negeri, maka saya yakin adalah tidak cukup untuk menjamin dan menaikkan lagi kemudahan di sini,” katanya.

Menerusi program itu, kerja menaik taraf kemudahan fizikal dan infrastruktur kampung bernilai RM100,000 telah dilaksanakan, termasuk penyelenggaraan dan pembaikan kecil serta penyediaan stor simpanan untuk kegunaan penduduk.

Sebanyak 15 komputer riba dan 30 tablet akan diagihkan kepada anak-anak penduduk kampung yang sedang belajar di sekolah hingga universiti bagi memudahkan pembelajaran dalam talian serta meningkatkan literasi digital.

-- BERNAMA