Am 23/11/2026 10:46 PM

Malaysia, Indonesia Perinci Program Desa Berkembar Untuk Perkukuh Ekonomi Luar Bandar

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Malaysia, Indonesia Perinci Program Desa Berkembar Untuk Perkukuh Ekonomi Luar Bandar
Kredit: TPMO

Oleh Nik Nurfaqih Nik Wil

BALI, 23 Nov (Bernama) -- Malaysia dan Indonesia akan memperinci cadangan pelaksanaan Program Desa Berkembar atau Sister Village bagi memperkukuh keusahawanan luar bandar, memperluas akses pasaran serta memupuk kerjasama perniagaan antara komuniti desa di kedua-dua negara.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata program itu berpotensi membolehkan komuniti luar bandar di kedua-dua negara bertukar-tukar kepakaran, membangunkan produk, mewujudkan rangkaian perniagaan serta memperluas akses pasaran bagi usahawan desa dan koperasi.

Ahmad Zahid berkata cadangan itu antara perkara yang akan dibincang dalam pertemuan dua hala beliau dengan pihak Kementerian Desa dan Pembangunan Daerah Tertinggal Indonesia esok sebagai sebahagian daripada usaha susulan bagi melaksanakan perjanjian kerjasama pembangunan luar bandar yang dimeterai pada 17 Sept lepas di Jakarta.

“Tumpuan kali ini adalah untuk menterjemahkan persefahaman tersebut kepada kerjasama yang lebih praktikal dan memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat desa di kedua-dua negara,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis makan malam di Bali yang dihadiri oleh Timbalan Menteri Desa dan Pembangunan Daerah Tertinggal Indonesia Ahmad Riza Patria serta Setiausaha Daerah Bali Dewa Made Indra.

Majlis itu menyusuli ketibaan beliau di Lapangan Terbang Antarabangsa I Gusti Ngurah Rai pada 2.30 petang waktu tempatan bagi memulakan lawatan kerja lima hari ke Indonesia, yang memfokus kepada kerjasama pembangunan luar bandar di Bali dan mesyuarat pengurusan bencana ASEAN di Jakarta.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata perbincangan itu turut merangkumi usaha memperkukuh sektor koperasi dan keusahawanan, berkongsi pengalaman berkaitan Badan Usaha Milik Desa (BUMDes) di Indonesia selain meneliti metodologi Indeks Desa Indonesia sebagai instrumen bagi mengukur tahap pembangunan serta keupayaan berdikari sesebuah kampung.

“Saya berharap kerjasama ini dapat diterjemahkan kepada manfaat yang benar-benar dirasai masyarakat desa sama ada melalui peningkatan pendapatan, peluasan pasaran, pembangunan modal insan mahupun pemerkasaan komuniti secara menyeluruh,” katanya.

-- BERNAMA