KUALA LUMPUR, 23 Nov (Bernama) -- Pemegang saham Public Financial Holdings Ltd (PFHL) hari ini meluluskan skim penyusunan di bawah cadangan penswastaan syarikat itu oleh Public Bank Bhd.
Dalam pengumuman bersama yang difailkan kepada Bursa Malaysia hari ini, Public Bank dan PFHL memaklumkan resolusi untuk meluluskan skim berkenaan diluluskan pada mesyuarat pemegang saham yang diadakan atas arahan mahkamah, dengan 89.19 peratus undi yang dikemukakan oleh pemegang saham skim yang tidak mempunyai kepentingan dalam urus niaga itu menyokong resolusi berkenaan.
Kedua-dua syarikat memaklumkan pada mesyuarat agung luar biasa yang diadakan selepas itu, sebanyak 99.09 peratus undi yang dikemukakan menyokong resolusi khas bagi melaksanakan skim berkenaan.
Pendengaran mahkamah berhubung petisyen untuk mendapatkan pengesahan skim itu dijadualkan pada 4 Dis, waktu Bermuda, manakala skim berkenaan dijangka berkuat kuasa pada 7 Dis (waktu Bermuda), tertakluk kepada pemenuhan atau, jika berkenaan, pengecualian syarat-syarat yang masih belum dipenuhi.
“Syarikat telah memohon kepada bursa saham untuk menarik balik penyenaraian sahamnya dan permohonan itu telah diluluskan.
“Penarikan balik penyenaraian itu dijangka berkuat kuasa pada 4 petang, waktu Hong Kong, pada 9 Dis, tertakluk kepada skim berkenaan berkuat kuasa,” menurut kedua-dua syarikat itu.
Public Bank, yang memiliki 73.23 peratus kepentingan dalam PFHL, pada September mencadangkan untuk menswastakan syarikat itu pada harga pembatalan HK$2.50 sesaham secara tunai.
Selepas selesai, PFHL akan menjadi anak syarikat milik penuh Public Bank.
-- BERNAMA