Oleh Abdul Hamid A Rahman
KUALA LUMPUR, 23 Nov (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup lebih rendah pada Isnin, dipengaruhi dengan harga minyak sayuran yang lemah, permintaan eksport yang lembap dan kebimbangan mengenai paras inventori minyak sawit Malaysia yang tinggi, kata seorang peniaga.
Peniaga Proprietari Iceberg X Sdn Bhd David Ng berkata penurunan itu sebahagian besarnya dipengaruhi oleh harga minyak kacang soya dan minyak sayuran Dalian yang lebih lemah, yang terus menjejaskan sentimen dalam pasaran minyak sawit.
“Sementara itu, prestasi eksport yang lembap pada November, dan kebimbangan mengenai paras inventori domestik yang tinggi, memberi tekanan tambahan kepada niaga hadapan MSM walaupun harga minyak sawit mentah lebih kukuh.
“Pasaran juga kekal berhati-hati di tengah-tengah kebimbangan berterusan mengenai lebihan bekalan dan permintaan eksport yang lemah, yang terus memberi tekanan terhadap sentimen keseluruhan,” katanya kepada Bernama.
Ng berkata paras sokongan segera dilihat pada RM4,150 satu tan, manakala paras rintangan ditetapkan pada RM4,300 satu tan, dengan sentimen pasaran dijangka kekal berhati-hati dalam tempoh jangka pendek.
Pada penutup dagangan, kontrak semerta bulan Disember 2026 susut RM83 kepada RM3,957 satu tan, kontrak Januari 2027 berkurang RM89 kepada RM4,052 satu tan dan kontrak Februari 2027 turun RM76 kepada RM4,141 satu tan.
Kontrak Mac 2027 menyusut RM63 kepada RM4,218 satu tan, kontrak April 2027 merosot RM52 kepada RM4,281 satu tan dan kontrak Mei 2027 turun RM40 kepada RM4,323 satu tan.
Jumlah dagangan merosot kepada 99,374 lot berbanding 117,017 lot sebelumnya, manakala kepentingan terbuka susut kepada 331,107 kontrak berbanding 338,348 kontrak minggu lepas.
Harga MSM fizikal bagi November Selatan susut RM100 kepada RM3,980 satu tan.
-- BERNAMA