Am 23/11/2026 10:20 PM

OCK Group Beli Kepentingan Ekuiti Dalam Unit Edotco Dengan Bayaran Awal RM327.8 Juta

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
OCK Group Beli Kepentingan Ekuiti Dalam Unit Edotco Dengan Bayaran Awal RM327.8 Juta
OCK Group Bhd

KUALA LUMPUR, 23 Nov (Bernama) -- OCK Group Bhd merancang untuk mengembangkan perniagaannya ke Kemboja melalui pembelian keseluruhan kepentingan ekuiti dalam Edotco Holdings (Labuan) Ltd (EHL) daripada Edotco Group Sdn Bhd dengan pertimbangan tunai awal sebanyak US$81 juta (RM327.80 juta).

Pmbelian EHL itu akan dilaksanakan menerusi anak syarikat milik penuh OCK Group, OCK Sea Towers Pte Ltd.

Edotco Group merupakan anak syarikat yang mana 63.00 peratus kepentingannya dimiliki oleh Axiata Group Bhd.

Sehingga 30 Okt, 2026, EHL memegang 80 peratus kepentingan ekuiti dalam satu-satunya anak syarikatnya, EDOTCO (Cambodia) Co Ltd (ECC).

ECC mengendalikan dan menguruskan portfolio lebih 3,800 menara telekomunikasi di Kemboja.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, OCK Group memaklumkan sebaik sahaja cadangan pengambilalihan itu selesai, EHL dan ECC masing-masing akan menjadi anak syarikat milik penuh secara langsung dan anak syarikat milik 80 peratus secara tidak langsung di bawah OCK Sea Towers.

OCK Sea Towers pula merupakan anak syarikat milik penuh OCK Group.

Syarikat itu menyatakan cadangan pengambilalihan berkenaan merupakan peluang strategik bagi OCK Group untuk mengembangkan perniagaan infrastruktur telekomunikasinya di rantau ini dan mengukuhkan kedudukannya sebagai syarikat pengendali menara telekomunikasi (TowerCo) serantau di ASEAN.

Setakat 30 Jun, 2026, OCK Group memiliki dan mengendalikan portfolio lebih 5,500 tapak menara telekomunikasi di Malaysia, Vietnam, Indonesia, Myanmar dan Laos.

“Melalui cadangan pembelian itu, OCK Group akan memperluas jangkauan geografinya ke Kemboja dengan memperoleh akses kepada portfolio sedia ada yang merangkumi lebih 3,800 menara telekomunikasi menerusi pengambilalihan keseluruhan kepentingan ekuiti dalam EHL, yang memegang 80 peratus kepentingan ekuiti dalam ECC.

“Langkah ini akan memperkukuh lagi portfolio infrastruktur telekomunikasi serantau OCK Group dan menyediakan platform sedia ada untuk pengembangan perniagaannya ke pasaran Kemboja,” tambahnya.

OCK Group memaklumkan cadangan pengambilalihan itu akan melengkapi perniagaan infrastruktur telekomunikasinya yang sedia ada, mengukuhkan kedudukan pasarannya di rantau ini dan menyediakan peluang tambahan untuk pertumbuhan pendapatan yang mampan dalam jangka panjang, sekali gus berpotensi menyumbang secara positif kepada nilai keseluruhan kumpulan dan para pemegang sahamnya.

“Cadangan pembelian itu dijangka selesai pada separuh kedua 2027,” tambahnya.

-- BERNAMA