IPOH, 23 Nov (Bernama) -- Di sebalik kejayaan mencatat tiga kemenangan berturut-turut dalam saingan Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) ke-32, ketua jurulatih hoki lelaki negara Brendon Carolan mula bimbang dengan tahap kecergasan anak buahnya yang semakin terjejas akibat jadual pertandingan padat sejak enam bulan lepas.
Kebimbangan itu disuarakan selepas skuad Speedy Tigers terpaksa bekerja keras untuk menewaskan Amerika Syarikat (AS) 4-2 dalam aksi ketiga malam ini, sekali gus memberi gambaran bahawa keletihan pemain boleh menjadi penghalang kepada usaha skuad negara mengekalkan momentum kemenangan dalam baki saingan.
Carolan mengakui persembahan anak buahnya masih jauh daripada tahap yang diharapkan, terutama selepas mengharungi hampir enam kejohanan berturut-turut yang menguji ketahanan fizikal dan keupayaan mereka mengekalkan intensiti permainan.
“Sudah tentu kami kecewa dengan persembahan yang ditunjukkan. Saya fikir masalah utama ialah tahap tenaga pemain yang agak rendah.
“Kami sudah mengharungi hampir enam kejohanan berturut-turut dan itu satu beban yang cukup besar. Kami perlu tampil jauh lebih baik dalam beberapa perlawanan akan datang,” katanya pada sidang media selepas perlawanan di sini malam ini.
Beliau turut mengakui AS berjaya menyukarkan pergerakan skuad negara menerusi strategi tekanan secara zon dan organisasi pertahanan yang tersusun.
Menurutnya, kelemahan pemain negara dalam mengawasi pergerakan lawan, khususnya di belakang benteng pertahanan, perlu segera ditangani bagi mengelakkan pasukan dibolosi akibat kesilapan sendiri.
“Kami menggunakan sistem pertahanan secara zon, tetapi ada pemain lawan yang berjaya bergerak di belakang barisan pertahanan tanpa dikawal dengan baik.
“Kami tahu aspek itu perlu diperbaiki,” katanya.
Sementara itu, ketua jurulatih AS Allan Law mengakui ketajaman penyudah menjadi faktor pemisah utama antara kedua-dua pasukan meskipun anak buahnya berjaya mencipta beberapa peluang berbahaya.
Beliau berkata Malaysia membuktikan kualiti sebagai pasukan yang berada pada kedudukan lebih tinggi dalam ranking dunia apabila bijak memanfaatkan peluang untuk menghasilkan jaringan.
Dalam perlawanan itu, Faizal Saari muncul wira Speedy Tigers selepas meledak dua gol pada minit ke-15 dan ke-43, manakala Faiz Helmi Jali dan Muhammad Adam Ashraf Mohd Johari masing-masing menyumbang satu gol pada minit ke-20 dan ke-40.
Kemenangan itu menyaksikan Malaysia meneruskan rekod sempurna selepas terdahulu menewaskan Korea Selatan 3-0 dan Kanada 6-0.
Esok, Malaysia dijadual menentang Australia pada 7.30 malam, manakala AS berdepan Kanada pada 5.15 petang.
-- BERNAMA