Am 23/11/2026 11:17 PM

Kekuatan M'sia Bukan Hanya Bersandarkan Teknologi Tetapi Juga Berteraskan Akidah, Akhlak - PM

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Kekuatan M'sia Bukan Hanya Bersandarkan Teknologi Tetapi Juga Berteraskan Akidah, Akhlak - PM
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada Perasmian Khatam Sama' Hadis Jami' al-Tirmidhi dan al-Syama'il al-Muhammadiyyah Peringkat Antarabangsa 2026 di Masjid Putra hari ini.

PUTRAJAYA, 23 Nov (Bernama) -- Kekuatan Malaysia sebagai sebuah negara tidak hanya bergantung kepada kemajuan teknologi, kecerdasan buatan (AI) dan pelaburan besar semata-mata sebaliknya turut bersandarkan kepada kekuatan akidah, akhlak serta pembentukan keperibadian rakyat.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kemajuan dalam bidang industri, teknologi dan digital penting bagi menjamin peluang pekerjaan selain meningkatkan taraf hidup rakyat namun kekuatan sebenar negara turut bergantung kepada nilai kerohanian serta jati diri masyarakat.

"Percayalah, kekuatan kita itu kerana berkat doa... kerana masih ada yang teguh mendirikan, menyelamatkan negara kita, menjadikannya sebagai satu negara yang punya kekuatan," katanya semasa berucap pada Majlis Khatam Sama’ Hadis Jami’ at-Tirmidhi dan Al-Syama’il Al-Muhammadiyyah Peringkat Antarabangsa 2026 di sini hari ini.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan, Mufti Besar India Syeikh Al-Alamah Syeikh Abu Bakar Ahmad Al-Malibari dan ulama tersohor dunia Islam Syeikh Dr Usamah Said Mahmud Muhammad Saad Al-Azahari.

Anwar berkata Malaysia perlu mengimbangi aspirasi untuk meneroka kemajuan teknologi baharu dengan usaha memperkukuh asas agama, budaya dan tradisi bagi memastikan identiti negara terus terpelihara.

"Apa beza kita dengan negara-negara lain? Negara industri, negara kaya, negara barat…  apa bezanya? Kita mengakar di bumi... kita insaf bahawa dengan kekuatan akidah dan akhlak serta membina sahsiah Islamiah, barulah kita (dapat) pertahankan jati diri, ilmu, budaya dan tradisi kita," katanya.

Perdana Menteri berkata pendekatan itu turut menjadi asas kepada dasar kerajaan seperti yang digariskan dalam tema Belanjawan 2027, iaitu “Menggapai Di Langit, Mengakar Di Bumi”.

Beliau berkata pendekatan itu mencerminkan komitmen kerajaan untuk meneroka kemajuan ilmu, teknologi, AI dan pendigitalan tanpa mengabaikan nilai serta asas yang membentuk keperibadian negara.

Terdahulu, pada majlis yang dihadiri 10,000 peserta bersama dengan 40 ulama antarabangsa dan tempatan itu , Anwar menerima penganugerahan ijazah sanad hadis khas yang disampaikan oleh Sheikh Abu Bakar dan Sheikh Dr Usama Sayyid Mahmud.

-- BERNAMA