Dunia 13/11/2026 05:17 PM

Majlis Keselamatan PBB Baharui Sekatan Terhadap Yaman Setahun Lagi

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Majlis Keselamatan PBB Baharui Sekatan Terhadap Yaman Setahun Lagi
Imej yang diambil daripada video tanpa tarikh ini, yang dikeluarkan pada Selasa, 15 Sept 2026 oleh Pejabat Media Ansar Allah, sayap media Houthi di Yaman, menunjukkan apa yang didakwa kumpulan itu sebagai kenderaan milik pasukan yang disokong Arab Saudi diserang oleh pejuang Houthi di kawasan gurun di timur Jawf, Yaman. (Ansar Allah Media Office via AP)

HAMILTON, 13 Nov (Bernama-Anadolu) -- Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) pada Khamis sebulat suara bersetuju membaharui sekatan terhadap Yaman bagi tempoh setahun lagi.

Resolusi itu membenarkan pelaksanaan sekatan kewangan dan perjalanan terhadap individu tertentu dari Yaman yang telah dikenal pasti, dengan sekatan berkenaan berkuat kuasa sehingga 14 Nov 2027, lapor Anadolu Ajansi.

Resolusi itu turut menambah beberapa individu di Yaman ke dalam senarai sekatan serta mengecam serangan maritim dan rentas sempadan oleh kumpulan Houthi ke atas Arab Saudi, selain ancaman mereka terhadap kapal dagang.

Mandat Panel Pakar mengenai Yaman yang bertanggungjawab memantau dan melaporkan pelaksanaan sekatan turut dilanjutkan sehingga 15 Dis 2027 menerusi resolusi yang disokong Britain itu.

Menurut laporan PBB, ketegangan ketenteraan antara tentera kerajaan dan kumpulan Houthi kembali meningkat pada Julai, mengakibatkan 12,000 orang maut atau cedera. Peningkatan ketegangan itu menamatkan tempoh keadaan yang relatif tenang sejak April 2022

Konflik yang kembali tercetus memburukkan lagi krisis kemanusiaan di Yaman ketika pertempuran berterusan dan penduduk terpaksa berpindah.

Yaman dilanda peperangan sejak kumpulan Houthi menawan ibu negara Sanaa dan beberapa wilayah pada September 2014. Pakatan Arab yang diketuai Arab Saudi campur tangan pada Mac 2015 bagi menyokong kerajaan Yaman.

-- BERNAMA-ANADOLU