Am 13/11/2026 07:28 PM

Penjawat Awam Selangor Terima Bantuan Khas Dua Bulan Gaji

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Penjawat Awam Selangor Terima Bantuan Khas Dua Bulan Gaji
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari membentangkan laporan Belanjawan Selangor 2027 pada persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor di Bangunan Dewan Negeri Selangor.

SHAH ALAM, 13 Nov (Bernama) -- Kerajaan Negeri Selangor hari ini mengumumkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) Kita Selangor 2026 bersamaan dua bulan gaji kepada penjawat awam di negeri ini dengan bayaran minimum RM1,000.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata bantuan itu sebagai penghargaan atas komitmen penjawat awam dalam menjayakan pelbagai inisiatif kerajaan negeri, khususnya Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor.

Beliau berkata pakej berkenaan membantu mengupayakan golongan rentan, pelajar sekolah, wanita bekerja, petani dan pesawah bagi menghadapi krisis tenaga global.

“BKK Kita Selangor bagi 2026 sebanyak dua bulan gaji atau elaun dengan bayaran minimum RM1,000 akan disalurkan menjelang 21 Dis ini.

“Bayaran menggunakan peruntukan tahun semasa itu meliputi emolumen anggota kerajaan negeri yang gajinya dibayar oleh Kerajaan Persekutuan serta guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), dengan implikasi kewangan RM100.31 juta,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2027 di Dewan Undangan Negeri Selangor, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Amirudin berkata kerajaan negeri mencadangkan kenaikan elaun bulanan guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) sebanyak RM200 menjadikan jumlahnya meningkat daripada RM1,500 kepada  RM1,700 mulai Januari 2027.

Beliau berkata cadangan itu melibatkan sebanyak 7,245 guru KAFA lantikan negeri dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) merangkumi 4,303 Guru Fardhu Ain JAIS (GAF) serta 2,942 Guru KAFA JAKIM.

“Kerajaan Negeri Selangor sentiasa mengiktiraf jasa dan pengorbanan guru KAFA sebagai tunjang utama dalam membentuk generasi yang berilmu, beriman dan berakhlak mulia... justeru, kebajikan dan kesejahteraan golongan pendidik agama perlu terus diberikan keutamaan khususnya dalam mendepani peningkatan kos sara hidup.

“Inisiatif ini adalah langkah awal penyelarasan kebajikan pendidik agama di samping menghargai peranan mereka dalam mendidik lebih 100,000 murid di seluruh Selangor...peningkatan elaun ini melibatkan implikasi kewangan tambahan RM14 juta yang akan ditampung oleh kerajaan negeri,” katanya. 

Beliau berkata kerajaan negeri turut merancang meningkatkan elaun guru KAFA lantikan negeri dan JAKIM kepada RM2,000 selaras dengan kadar gaji minimum Persekutuan baharu yang akan berkuat kuasa pada Jun 2027. 

-- BERNAMA