Am 13/11/2026 06:09 PM

Sasterawan Negara Gesa Kedaulatan Undang-undang Ditegakkan Tanpa Pengecualian

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Sasterawan Negara Gesa Kedaulatan Undang-undang Ditegakkan Tanpa Pengecualian

KUALA LUMPUR, 13 Nov (Bernama) -- Tujuh Sasterawan Negara menggesa prinsip kedaulatan undang-undang ditegakkan secara adil dan saksama tanpa pengecualian termasuk melibatkan individu yang mempunyai kedudukan, kuasa, kekayaan dan pengaruh dalam masyarakat.

Menerusi kenyataan bersama, mereka menegaskan kedaulatan undang-undang adalah asas penting dalam pembinaan sebuah negara demokratik, berintegriti dan bermaruah serta menjadi landasan yang menjamin hak, kebebasan, keselamatan serta keadilan untuk setiap warga negara.

“Kami ingin menegaskan keadilan tidak seharusnya menjadi hak istimewa golongan tertentu, sebaliknya merupakan hak asasi setiap insan. Tidak boleh wujud dua ukuran dalam pelaksanaan undang-undang, satu untuk mereka yang mempunyai kuasa dan pengaruh, manakala satu lagi untuk rakyat biasa.

“Setiap individu hendaklah tertakluk pada prinsip dan proses perundangan yang sama. Tiada sesiapa yang boleh menganggap dirinya terlalu berkuasa untuk dipertanggungjawabkan dan tiada sesiapa yang terlalu lemah sehingga dinafikan hak untuk mendapatkan keadilan,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu dibuat oleh Datuk Seri Dr A. Samad Said, Datuk Baharuddin Zainal, Prof Emeritus Dr Muhammad Salleh, Datuk Dr Anwar Ridhwan, Datuk Dr Zurinah Hassan, Datuk Dr Siti Zainon Ismail dan Datuk Rahman Shaari.

Menerusi kenyataan itu, mereka turut menegaskan bahasa dan sastera mempunyai tanggungjawab untuk menyuarakan nilai kebenaran, keadilan dan kemanusiaan khususnya dalam memastikan kepentingan golongan yang tidak mempunyai kuasa dan pengaruh turut terbela.

Selain itu, martabat sesebuah negara bukan hanya diukur melalui kemajuan ekonomi, kecanggihan teknologi atau kekuatan institusinya, tetapi juga berdasarkan cara negara melayani rakyat terutama mereka yang tidak mempunyai kemampuan untuk memperjuangkan kepentingan sendiri.

“Kami sekali lagi menegaskan undang-undang yang adil melindungi semua, bukan hanya mereka yang berkuasa; yang mendengar suara semua termasuk rakyat dan orang kecil, bukan hanya mereka yang berpengaruh; dan yang memberikan keadilan kepada semua, bukan hanya mereka yang mempunyai kemampuan untuk mendapatkannya.

“Prinsip Kedaulatan Undang-undang dalam Rukun Negara bukan hanya untuk dilafazkan, tetapi dihayati dan dilaksanakan sehingga tiada seorang pun berada di atas undang-undang dan tiada seorang pun dinafikan perlindungan undang-undang,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut memaklumkan, keadilan sebenar ialah keadilan yang dapat dirasakan oleh semua lapisan masyarakat sekali gus menjadi asas kepada pembentukan sebuah negara Malaysia yang bermaruah, masyarakat yang bersatu dan peradaban yang menjunjung nilai kemanusiaan.

-- BERNAMA