Oleh Linda Khoo
KUALA LUMPUR, 13 Nov (Bernama) -- Memandangkan pelaksanaan Konsensus Lima Perkara (5PC) mengenai Myanmar tergendala, ASEAN perlu merundingkan konsensus baharu dengan penglibatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan menjadikannya asas untuk mengembalikan penyertaan politik Myanmar dalam blok serantau itu secara berperingkat, menurut seorang penganalisis.
Profesor Adjung di Taylor's University Datuk Dr Ilango Karuppannan berkata perkembangan di lapangan telah melangkaui 5PC sebagai kerangka untuk menangani krisis di Myanmar, walaupun objektifnya masih relevan.
5PC yang diterima pakai oleh pemimpin ASEAN susulan rampasan kuasa tentera di Myanmar pada Februari 2021 menggariskan beberapa langkah termasuk penghentian segera keganasan, dialog konstruktif antara semua pihak dan penyediaan bantuan kemanusiaan.
"ASEAN perlu merundingkan konsensus baharu dengan Myanmar yang melibatkan PBB sebagai pertukaran kepada peluang untuk Myanmar kembali mengambil bahagian dalam ASEAN secara berperingkat,” katanya kepada Bernama menjelang Sidang Kemuncak ASEAN Ke-49 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di Manila.
Ilango berkata sebarang perjanjian baharu mesti merangkumi komitmen yang boleh diukur untuk mengurangkan keganasan, memajukan dialog inklusif dan meningkatkan akses kepada bantuan kemanusiaan.
Menurut beliau, perjanjian itu juga perlu mendukung hak pelarian untuk pulang secara sukarela, selamat dan bermaruah, selain menyediakan perlindungan yang boleh dipercayai kepada etnik Rohingya.
Ilango yang juga Felo Kanan Adjung di S. Rajaratnam School of International Studies (RSIS), Nanyang Technological University (NTU) di Singapura berkata pihak berkuasa tentera Myanmar, kumpulan pembangkang dan pertubuhan etnik perlu bersama-sama membentuk konsensus baharu itu dengan penglibatan PBB.
Beliau berkata perjanjian yang dirundingkan hanya dengan pihak berkuasa tentera akan sukar dilaksanakan sekiranya ditolak oleh pihak lain.
"Perbincangan secara berasingan mungkin menjadi titik permulaan yang praktikal, dengan memberi tumpuan kepada akses bantuan kemanusiaan, perlindungan orang awam dan pengurangan keganasan.
"Utusan tetap perlu mengekalkan saluran perbincangan itu dengan sokongan PBB. Tiada satu pihak pun seharusnya menentukan siapa yang boleh ditemui ASEAN," katanya.
Menurut laporan media, pada sesi rundingan tidak rasmi yang diperluas mengenai Myanmar pada Julai, menteri-menteri luar ASEAN mencadangkan pelantikan seorang utusan khas tetap bagi menggantikan sistem penggiliran jawatan itu setiap tahun.
Mengulas cadangan berkenaan, Ilango berkata keutamaan ASEAN seharusnya mencapai satu perjanjian baharu dengan Myanmar.
Beliau berkata utusan tetap akan diperlukan sekiranya tiada sebarang perjanjian dapat dicapai.
Bagaimanapun menurut beliau, pelantikan itu tidak diperlukan sekiranya Myanmar bersetuju memenuhi kewajipannya di bawah kerangka baharu. Jika dilantik, utusan berkenaan perlu memastikan perbincangan berkenaan diteruskan dengan sokongan PBB.
"Tiada satu pihak pun seharusnya menentukan pihak yang boleh ditemui ASEAN," katanya.
Mengenai perwakilan Myanmar dalam mesyuarat ASEAN, Ilango berkata pilihan raya di negara itu semata-mata tidak seharusnya dijadikan asas untuk mengembalikan penyertaan politik penuh Myanmar.
Beliau berkata ASEAN perlu melonggarkan sekatan secara berperingkat apabila Myanmar memenuhi komitmennya di bawah perjanjian baharu.
"ASEAN perlu mengelak daripada mengembalikan penyertaan politik penuh Myanmar pada peringkat awal sebagai pertukaran kepada janji semata-mata. Proses itu mesti dipersetujui bersama dan tertakluk pada pelaksanaan komitmen,” katanya.
Susulan rampasan kuasa itu, ASEAN mengehadkan penyertaan Myanmar dalam mesyuarat peringkat tinggi kepada wakil bukan politik.
Filipina selaku Pengerusi ASEAN 2026 akan menyambut kedatangan pemimpin serantau dan dunia yang menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN dan Sidang Kemuncak Berkaitan bertemakan "Mengemudi Masa Depan Kita, Bersama".
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN Ke-49 dan Sidang Kemuncak Berkaitan.
Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, Perdana Menteri Kanada Mark Carney dan Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva dijangka menghadiri sidang kemuncak berkaitan, manakala Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres dijangka menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-PBB.
-- BERNAMA