MANILA, 13 Nov (Bernama-PNA) -- Filipina menerusi Jabatan Kewangan (DOF) menerajui usaha serantau untuk membangunkan dan menyelaraskan pasaran karbon di seluruh Asia Tenggara, lapor Agensi Berita Filipina (PNA).
DOF dalam satu kenyataan pada Jumaat memaklumkan bahawa inisiatif itu bertujuan menarik lebih banyak pelaburan swasta bagi menyokong tindakan menangani perubahan iklim, selain membantu peralihan ASEAN ke arah ekonomi rendah karbon yang mampu menyesuaikan diri dan berdaya tahan terhadap perubahan iklim.
"Ia merupakan instrumen penting bagi kemakmuran ASEAN. Dengan mewujudkan pasaran perdagangan kredit karbon, kita dapat menarik pelaburan untuk menangani perubahan iklim.
"Ia membuka peluang kepada pembiayaan swasta bagi mengurangkan pelepasan karbon, selain menyalurkan pelaburan ke dalam tenaga boleh baharu dan penyelesaian berasaskan alam semula jadi," kata Setiausaha Kewangan Filipina Frederick Go pada sebuah forum baru-baru ini.
Menurut DOF, pasaran karbon membolehkan syarikat yang menghasilkan pelepasan gas rumah hijau membeli kredit karbon daripada projek yang mengurangkan atau menyingkirkan pelepasan berkenaan, sekali gus menggalakkan pelaburan dalam penyelesaian lebih bersih dan mesra alam.
Sempena Kepengerusian ASEAN Filipina 2026, Kumpulan Dasar Pembiayaan Iklim (CFPG) DOF bersama Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa (SEC), dengan kerjasama Bank Pembangunan Asia (ADB), menganjurkan Forum Pembangunan dan Penyelarasan Pasaran Karbon ASEAN 2026 di bawah Platform Dasar Pembiayaan Iklim ASEAN (ACFPP).
Forum itu merupakan inisiatif di bawah keutamaan ekonomi Filipina bertajuk "Sustainable and Resilient ASEAN Capital Markets", selaras dengan Pelan Tindakan Forum Pasaran Modal ASEAN (ACMF) 2026-2030.
Ia menyediakan platform kepada negara anggota untuk membincangkan dasar, perdagangan kredit karbon rentas sempadan serta penyelarasan sistem pendaftaran karbon dan pemantauan di peringkat nasional.
-- BERNAMA-PNA