Oleh Linda Khoo
KUALA LUMPUR, 13 Nov (Bernama) -- Pertikaian berlarutan, perubahan dinamik geopolitik dan kelesuan rundingan boleh menggagalkan usaha ASEAN dan China untuk memuktamadkan rundingan mengenai Kod Tatalaku (COC) di Laut China Selatan menjelang akhir 2026, menurut seorang penganalisis.
Walaupun berdepan cabaran itu, penganalisis maritim dan sarjana Nazery Khalid tetap optimis secara berhati-hati bahawa perjanjian yang telah lama dinantikan itu masih boleh dimuktamadkan menjelang akhir tahun ini, berdasarkan komitmen kedua-dua pihak untuk menyelesaikan rundingan.
“Walaupun ASEAN dan China menyatakan komitmen untuk memuktamadkan COC dan kemajuan sedang dicapai ke arah persetujuan, saya tetap optimis secara berhati-hati bahawa kod itu akan dimuktamadkan menjelang akhir tahun ini,” katanya kepada Bernama.
ASEAN dan China mempergiat rundingan tahun ini dengan mengadakan mesyuarat setiap bulan bagi menyelesaikan isu tertunggak, termasuk status perundangan COC, skop geografi serta hubungannya dengan Deklarasi Tatalaku Pihak-Pihak di Laut China Selatan (DOC) 2002.
Bagaimanapun, Nazery mengingatkan bahawa perubahan perkembangan geopolitik dan geostrategik telah mengubah landskap rundingan, melemahkan pengaruh aturan berasaskan peraturan serta platform pelbagai hala, selain menyebabkan beberapa negara yang mempunyai tuntutan bertindih semakin bertegas dengan pendirian masing-masing.
Beliau berkata penglibatan kuasa luar turut meningkatkan ketegangan di perairan yang menjadi pertikaian itu.
Nazery juga memberi amaran bahawa rundingan berpanjangan yang telah berlangsung lebih dua dekad sejak DOC diterima pakai pada 2002 boleh menyebabkan keletihan rundingan dalam kalangan negara yang mempunyai tuntutan bertindih.
“Mereka terus membahaskan perkara yang sama berulang kali tanpa mencapai banyak kemajuan bermakna dalam menyelesaikan isu utama yang menjadi pertikaian,” katanya.
Beliau berkata perubahan kerajaan dan pertukaran perunding yang mungkin mempunyai pandangan berbeza daripada pendahulu mereka juga boleh menjejaskan momentum rundingan.
Antara isu utama yang menjadi penghalang, Nazery mengenal pasti perselisihan pendapat mengenai kawasan di Laut China Selatan yang menjadi pertikaian, sama ada tuntutan maritim yang bertindih mematuhi undang-undang antarabangsa serta cara menangani pelanggaran COC.
Satu lagi isu yang menjadi pertikaian ialah sama ada kod itu perlu merangkumi mekanisme penyelesaian pertikaian dan bukannya sekadar memberi tumpuan kepada usaha mencegah pertikaian.
“Selagi semua pihak tidak mencapai persetujuan mengenai perkara ini dan berpuas hati bahawa kepentingan mereka akan dilindungi serta tidak terjejas, sukar untuk menjangkakan COC dapat dimuktamadkan dalam masa terdekat,” katanya.
Dalam keadaan itu, Nazery berkata Malaysia, selaku Negara Penyelaras Hubungan ASEAN-China, berada pada kedudukan yang baik untuk membantu merapatkan perbezaan pendirian dan mengekalkan momentum rundingan COC.
Beliau berkata Malaysia boleh memanfaatkan pendiriannya yang tidak berpihak kepada mana-mana kuasa serta hubungan perdagangan erat dengan China untuk bertindak sebagai “suara yang rasional dan berpengaruh” bagi menggalakkan kedua-dua pihak meneruskan rundingan walaupun terdapat perbezaan pendirian.
Malaysia juga boleh menggalakkan negara yang mempunyai tuntutan bertindih supaya menyelaraskan tuntutan maritim masing-masing dengan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS), katanya.
Nazery turut memberi amaran bahawa kelewatan selanjutnya dalam memuktamadkan COC boleh meningkatkan risiko “permusuhan tercetus sehingga menjadi konfrontasi berskala penuh” antara negara yang mempunyai tuntutan bertindih.
Beliau mengingatkan bahawa sekiranya kuasa luar terlibat dalam pertikaian itu, ASEAN boleh “kehilangan peranan utamanya dan kerelevanannya dalam membentuk kerangka keselamatan maritim serantau”.
Filipina, selaku Pengerusi ASEAN bagi 2026, akan menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN Ke-49 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di Manila.
Sidang kemuncak itu bertemakan “Navigating Our Future, Together”, dengan usaha memuktamadkan rundingan COC antara keutamaan utama.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengetuai delegasi Malaysia ke mesyuarat berkenaan.
-- BERNAMA