Am 13/11/2026 05:09 PM

Banjir: Selangor Peruntuk RM36.45 Juta Untuk Projek Pendekatan Serta-merta Pada 2027

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Banjir: Selangor Peruntuk RM36.45 Juta Untuk Projek Pendekatan Serta-merta Pada 2027
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari membentangkan laporan Belanjawan Selangor 2027 pada persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor di Bangunan Dewan Negeri Selangor hari ini.

SHAH ALAM, 13 Nov (Bernama) -- Kerajaan Negeri Selangor memperuntukkan RM36.45 juta untuk 47 projek tebatan banjir pendekatan serta-merta di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pada 2027 dalam usaha mengurangkan risiko bencana berkenaan.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2027 hari ini berkata daripada jumlah peruntukan tersebut, sebanyak RM9.15 juta melibatkan Lembangan Sungai Klang dan RM7.35 juta pula bagi pembangunan di Lembangan Sungai Langat. 

Amirudin berkata peruntukan itu turut meliputi Lembangan Sungai Buloh, Sungai Selangor, Sungai Bernam dan Sungai Kapar Besar serta kerja persediaan seperti reka bentuk, ukur dan urusan tanah. 

Beliau berkata daripada 47 projek, 30 adalah projek sambungan dengan 13 daripadanya telah siap dan sedang melalui penyediaan akaun muktamad, sembilan sedang dilaksanakan, dua pada peringkat pratender manakala enam pada peringkat reka bentuk. 

“Bagi 17 projek baharu pula, satu pada peringkat reka bentuk, 11 dalam proses pelantikan perunding dan lima masih pada peringkat perancangan,” katanya di Dewan Negeri Selangor.

Selain itu, Amirudin berkata sebanyak RM19.38 juta diperuntukkan bagi 25 projek sistem saliran, RM17.9 juta bagi 16 projek pembangunan dan pengurusan lembangan sungai, serta RM6.63 juta untuk sembilan projek saliran mesra alam. 

Bagi projek mitigasi banjir di bawah Selangor Maritime Gateway (SMG ZPE), RM25 juta dicadangkan untuk meneruskan kerja meningkatkan kapasiti sungai dan memperbaiki aliran air dengan kemajuan fizikal projek tersebut kini 71.43 peratus.

Sementara kerja fizikal berjalan, Amirudin berkata sistem amaran bencana antara pusat operasi negeri, daerah dan agensi di lapangan akan diperbaiki. 

“Melalui Program Pengurusan Risiko Bencana Berasaskan Komuniti serta latihan di sekolah, kita mahu penduduk tahu ke mana mereka perlu pergi, siapa yang perlu dihubungi dan bagaimana membantu mereka yang memerlukan sokongan untuk berpindah,” katanya.

Dalam pada itu, Amirudin mahu Jabatan Kerja Raya (JKR), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan JPS memberi keutamaan kepada projek yang menyelesaikan masalah banjir termasuk pembentung dan saliran.

“Semakan teknikal yang boleh berjalan serentak hendaklah dimulakan bersama. Jika satu keputusan melibatkan beberapa agensi, isu itu perlu dibawa lebih awal kepada pihak yang boleh menyelesaikannya. 

“Pengalaman Belanda memberi kita satu pedoman tentang apa yang harus dipercepat dan antara inisiatif itu adalah menggabungkan benteng serta struktur kawalan air dengan perancangan yang memberi ruang kepada sungai untuk melimpah dengan lebih selamat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan negeri akan menyediakan papan pemuka awam atau dashboard yang menunjukkan lokasi projek, agensi pelaksana dan pemakluman berkenaan fasa-fasa pelaksanaan, daripada pelantikan perunding reka bentuk hingga pelantikan kontraktor dan kemajuan kerja di tapak. 

“Sebelum memasuki musim tengkujuh, kerajaan akan mengemas kini status lokasi berisiko banjir dan menyatakan projek yang berkaitan, pelantikan yang telah dibuat serta kerja yang dijangka sempat dilaksanakan. 

“Dengan maklumat itu, penduduk boleh mengetahui tahap perlindungan di kawasan mereka menjelang musim hujan dan merujuk terus kepada agensi yang bertanggungjawab,” katanya.

-- BERNAMA