Am 13/11/2026 05:01 PM

Kerajaan Sokong Tindakan Pasukan Keselamatan Tangani Jenayah Secara Tegas - Anwar

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Kerajaan Sokong Tindakan Pasukan Keselamatan Tangani Jenayah Secara Tegas - Anwar
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melambai ke arah orang ramai selepas menunaikan solat Jumaat di Madrasathul Gouthiyyah Surau Brickfields hari ini.

KUALA LUMPUR, 13 Nov (Bernama) -- Kerajaan menyokong tindakan tegas pasukan keselamatan terhadap penjenayah berlandaskan undang-undang sedia ada, susulan insiden seorang anggota polis ditetak hingga putus pergelangan tangan ketika menjalankan tugas di Kepong, Rabu lepas.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata insiden itu turut dibangkitkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini dengan penegasan bahawa jenayah tidak boleh dipandang ringan dan tindakan terhadap penjenayah perlu diambil tanpa kompromi.

“Saya mendapat khabar tentang anggota polis yang ditetak. Jadi saya dalam Mesyuarat Jemaah Menteri tadi menyatakan bahawa kita beri sokongan kepada jentera dan pasukan keselamatan kita, supaya tegas, tidak boleh bertolak ansur dengan jenayah serta jangan dianggap hal ini mudah.

“Ya, ada peraturan dan undang-undang sedia ada yang dapat dimanfaatkan dan digunakan oleh anggota polis serta pasukan keselamatan amnya," kata beliau kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Madrasathul Gouthiyyah Surau Brickfields, di sini hari ini.

Rabu lepas, media melaporkan seorang anggota polis yang bertugas di Cawangan Kereta Peronda Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak putus pergelangan tangan kanan selepas diserang seorang lelaki warga asing bersenjatakan parang, di sebuah premis kediaman di sekitar Desa Aman Puri, Kepong.

Dalam pada itu, Perdana Menteri mengucapkan tahniah kepada pasukan perubatan Hospital Kuala Lumpur (HKL) atas kejayaan menyambung semula pergelangan tangan anggota polis yang ditetak itu.

Anwar berkata kejayaan itu secara tidak langsung membuktikan tahap kepakaran dan kemampuan petugas kesihatan negara dalam melaksanakan prosedur perubatan yang mencabar.

“Saya ucap tahniah kepada seluruh pasukan HKL atas kejayaan melaksanakan satu pembedahan kompleks yang memerlukan kepakaran luar biasa.

"Jadi, saya ucap tahniah kepada mereka dan doakan mudah-mudahan pekerjaan itu (penyambungan pergelangan tangan) dan hasilnya akan baik, Insya-Allah," katanya.

Semalam, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad merakamkan penghargaan khusus buat pasukan Pakar Subkepakaran Anggota Atas dan Mikrosurgeri diketuai Dr Allan Ravi Rajagopal dan Dr Aziz Sabbir Husain, atas kejayaan menyempurnakan prosedur lapan jam, yang menurutnya menuntut ketelitian tahap tinggi menggunakan mikroskop pembedahan tersebut.

Dzulkefly turut mengucapkan syabas kepada pasukan Neurosurgeri HKL, yang turut bekerjasama merawat kecederaan di bahagian kepala Lans Koperal Thierry Rodger Fendy.

-- BERNAMA