Am 13/11/2026 04:26 PM

Kerajaan Perhebat Usaha Tangani Banjir Berulang Di Selangor - Anwar

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Kerajaan Perhebat Usaha Tangani Banjir Berulang Di Selangor - Anwar
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra dengan jemaah ketika tiba bagi menunaikan solat Jumaat di Madrasathul Gouthiyyah Surau Brickfields di sini hari ini.

KUALA LUMPUR, 13 Nov (Bernama) -- Kerajaan akan memperhebat usaha menangani masalah banjir berulang di Selangor menerusi tindakan segera, penambahan peruntukan dan penyelarasan lebih menyeluruh antara agensi berkaitan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata langkah itu termasuk meningkatkan kekerapan kerja penyelenggaraan serta pembersihan parit dan sungai bagi mengurangkan risiko banjir yang terus menjejaskan penduduk di negeri tersebut.

Pendekatan penyelenggaraan, menurut beliau perlu mencontohi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang meningkatkan kekerapan pembersihan parit dan sungai kepada enam kali setahun berbanding dua kali sebelum ini.

“Ini menjadi perkara yang diputuskan hasil pertemuan saya dengan menteri-menteri berkaitan dan Kerajaan Negeri Selangor berhubung masalah banjir berterusan di negeri itu pada mesyuarat di Parlimen semalam.

“Saya tidak boleh terima apabila penduduk terpaksa berhadapan banjir empat hingga lima kali setahun. Walaupun paras air tidak tinggi, kesannya tetap membebankan rakyat,” kata beliau kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Madrasathul Gouthiyyah, Brickfields di sini hari ini.

Selain itu, Perdana Menteri berkata beliau mengarahkan semua jabatan berkaitan termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk bertindak segera tanpa melengahkan pelaksanaan kerja yang dipersetujui.

Beliau berkata walaupun faktor hujan lebat dan peningkatan paras air laut sukar dikawal, usaha tambahan tetap perlu dilaksanakan bagi mengurangkan risiko serta kesannya terhadap penduduk.

Dalam perkembangan berkaitan, Anwar berkata kerajaan turut meningkatkan bantuan kepada mangsa banjir daripada RM1,000 kepada RM2,500 manakala bantuan Kerajaan Negeri Selangor dinaikkan daripada RM500 kepada RM3,000.

Bagaimanapun, Perdana Menteri menegaskan bantuan kewangan semata-mata tidak mencukupi untuk menangani kesulitan dihadapi mangsa, sebaliknya langkah pencegahan, penyelenggaraan dan penambahbaikan infrastruktur perlu dilaksanakan secara berterusan.

Terdahulu, Anwar tiba di surau itu pada 12.50 tengah hari dan disambut jawatankuasa serta jemaah sebelum mendengar khutbah bertajuk “Zikrullah Membantu Ketenangan Jiwa” manakala solat Jumaat diimamkan oleh Syed Jabir Suhail Syed Ali Maricar.

Selesai solat, beliau mengumumkan sumbangan RM200,000 serta menyaksikan satu lagi sumbangan berjumlah RM200,000 oleh seorang penyumbang bagi dana pembangunan fasa kedua surau itu.

Bermula sebagai sebuah surau kecil berdindingkan papan di Kampung Khatijah, Brickfields, Surau Madrasathul Gouthiyyah dinaik taraf secara berperingkat menjadi bangunan dua tingkat sejak 2008.

-- BERNAMA