Am 11/11/2026 06:54 PM

Kerajaan Lulus Insentif Rm15 Juta Sebulan, Kekal Harga Siling Minyak Masak Botol - Armizan

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Kerajaan Lulus Insentif Rm15 Juta Sebulan, Kekal Harga Siling Minyak Masak Botol - Armizan
-- Gambar hiasan

KUALA LUMPUR, 11 Nov (Bernama) -- Kerajaan meluluskan pelaksanaan Mekanisme Kawalan Harga Minyak Masak (MKHMM) dengan peruntukan insentif khas kira-kira RM15 juta sebulan bagi mengekalkan harga siling serta menjamin kestabilan bekalan minyak masak sawit tulen botol di pasaran.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata keputusan yang dicapai dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 6 Nov lepas itu diambil susulan lonjakan harga minyak sawit mentah (CPO) dunia yang memberi tekanan kos ketara kepada pihak pengilang.

“Menerusi mekanisme ini, kita dapat mengekalkan harga siling sedia ada bagi botol satu, dua, tiga dan lima kilogram (kg). Pada masa sama, kerajaan menyalurkan insentif khas kepada pengilang yang mengeluarkan minyak masak kemasan botol tersebut,” katanya.

Beliau bercakap pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) ke-22 di sini hari ini.

Armizan berkata berdasarkan purata harga CPO dunia yang mencecah RM4,400 satu tan pada Oktober 2026, harga minyak masak kemasan botol 5 kg dianggarkan boleh meningkat kepada RM34 sekiranya langkah intervensi itu tidak dilaksanakan.

Menerusi mekanisme itu, harga siling minyak masak sawit tulen kemasan botol dikekalkan pada RM6.90 bagi 1 kg, RM13.30 (2 kg), RM19.60 (3 kg) dan RM30.90 (5 kg) melalui peraturan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Beliau berkata peningkatan harga CPO dunia sejak Jun 2025 menyebabkan tekanan kos terhadap pengilang semakin tinggi sehingga terdapat syarikat yang menghentikan pengeluaran minyak masak kemasan botol.

Katanya, KPDN bekerjasama dengan Kementerian Kewangan dan kementerian yang berkaitan bagi melaksanakan mekanisme itu sebagai intervensi untuk meredakan tekanan kos sara hidup susulan gangguan pasaran global akibat konflik di Asia Barat.

Sementara itu, Presiden PRESMA Datuk Mohammed Mosin Abdul Razak berkata langkah kerajaan mengekalkan harga siling minyak masak kemasan botol dapat membantu pengusaha restoran merancang kos operasi berikutan kestabilan harga bahan keperluan itu.

Beliau pada masa sama berharap kerajaan dapat mempertimbangkan pemberian subsidi bersasar kepada pengusaha restoran pada masa hadapan, selaras dengan bantuan yang disalurkan kepada pihak pengilang.

-- BERNAMA