KUALA LUMPUR, 11 Nov (Bernama) -- Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) disaran bekerjasama dengan kerajaan dalam merangka strategi bagi mengurangkan kebergantungan subsektor restoran terhadap pekerja asing secara berperingkat.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata usaha itu perlu berasaskan data dan kajian menyeluruh, termasuk mengenal pasti potensi penggunaan automasi dan mekanisasi bagi mengurangkan keperluan tenaga kerja asing dalam operasi restoran.
“Sekiranya kita dapat bergerak bersama-sama, insya-Allah kita boleh melihat kepada bentuk kerjasama untuk jangka masa panjang, sekali gus mengurangkan tekanan kos kepada mereka dalam penggajian pekerja tersebut,” katanya pada sidang media bersempena dengan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-22 PRESMA di sini, hari ini.
Beliau berkata kerajaan memahami kesukaran pengusaha restoran mendapat pekerja, namun kebergantungan berterusan kepada tenaga kerja asing boleh menjejaskan kadar upah, produktiviti dan usaha meningkatkan pendapatan rakyat.
Armizan berkata kerajaan komited melaksanakan agenda reformasi pasaran buruh menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang menyasarkan pengurangan peratusan pekerja asing kepada 10 peratus daripada keseluruhan tenaga kerja negara menjelang 2030.
Dalam pada itu, beliau berkata Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) sedang memproses permohonan penggajian pekerja asing bagi subsektor restoran dengan kelulusan tertakluk pada pematuhan syarat dan kriteria kelayakan yang ditetapkan.
Sebelum ini, KESUMA memudah cara permohonan majikan menerusi pengagihan kuota secara berperingkat susulan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 24 Julai tentang pembukaan kuota penggajian 15,000 pekerja asing bagi industri restoran.
Sementara itu, Presiden PRESMA Datuk Mohammed Mosin Abdul Razak mencadangkan agar kerajaan mengembalikan sistem gantian pekerja asing sebagai penyelesaian jangka panjang terhadap masalah kekurangan tenaga kerja dalam subsektor restoran.
Beliau berkata sistem itu membolehkan pengusaha restoran menggantikan pekerja asing yang pulang ke negara asal tanpa perlu memohon kuota baharu, sekali gus memastikan jumlah tenaga kerja dapat dikekalkan mengikut kelulusan sedia ada.
-- BERNAMA