Dunia 11/11/2026 07:38 PM

Agensi Maritim UK Terima Laporan Insiden Kapal Tangki Di Selat Hormuz

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Agensi Maritim UK Terima Laporan Insiden Kapal Tangki Di Selat Hormuz
-- Razieh Poudat/ISNA via AP

ISTANBUL, 11 Nov (Bernama-Anadolu) -- Agensi Operasi Perdagangan Maritim United Kingdom (UKMTO) pada Rabu memaklumkan ia menerima laporan mengenai insiden melibatkan sebuah kapal tangki di Selat Hormuz, lapor Anadolu Ajansi.

Dalam amaran yang dikeluarkan, agensi tersebut menyatakan laporan itu daripada pihak berkuasa tentera namun tidak memberikan perincian lanjut mengenai insiden berkenaan.

Menurut UKMTO, status kru, tahap kerosakan serta kesan terhadap alam sekitar masih belum diketahui pada masa laporan itu diterima.

Tiada maklumat mengenai jenis muatan, destinasi, nama kapal, mahupun bendera yang dikibarkan.

Agensi itu menasihati kapal-kapal yang melalui Selat Hormuz supaya berwaspada dan melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan sementara pihak berkuasa menjalankan siasatan.

Pada Selasa, Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) menyatakan sebuah kapal tangki minyak telah melanggar periuk api laut dan meletup, setelah menggunakan laluan di Selat Hormuz yang tidak dibenarkan oleh Tehran.

Insiden berlaku ketika peningkatan ketegangan maritim di selat tersebut susulan serangan Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran pada 28 Feb.

Pihak berkuasa Iran telah berulang kali memberikan amaran kepada kapal komersial supaya tidak menggunakan laluan perkapalan di luar laluan yang ditetapkan oleh Tehran.

Walaupun terdapat usaha diplomatik serta memorandum yang ditandatangani Washington dan Tehran pada Jun, pertikaian mengenai pelayaran dan keselamatan maritim di laluan air strategik itu masih berterusan.

-- BERNAMA-ANADOLU