KOTA KINABALU, 11 Nov (Bernama) -- Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) melakar pencapaian perubatan bersejarah apabila berjaya memisahkan pasangan bayi kembar Siam lelaki jenis 'pygopagus' yang kedua di negeri ini pada 17 Sept, selepas pasangan pertama pada 2 Julai lepas.
Menerusi hantaran Facebook hari ini, HWKKS memaklumkan pembedahan berisiko tinggi itu dilaksanakan ketika bayi berkenaan berusia 40 hari.
"Kejayaan mengendalikan dua pembedahan pemisahan yang sangat kompleks dalam tempoh singkat menonjolkan komitmen dan keupayaan klinikal luar biasa pasukan perubatan tempatan di pusat rujukan pediatrik utama Sabah," menurut hantaran itu.
Pembedahan itu terpaksa diawalkan daripada perancangan asal selepas seorang daripada bayi itu mula memerlukan peningkatan sokongan pernafasan berikutan tekanan fisiologi ke atas sistem organ yang berkongsi.
Intervensi perubatan itu dijayakan menerusi penyelarasan tepat barisan pakar multidisiplin HWKKS bersama-sama Hospital Tunku Azizah (HTA) Kuala Lumpur dan Hospital Umum Sarawak (HUS).
Prosedur rumit berkenaan merangkumi pemisahan sistem usus bawah dan saluran kencing, pembinaan semula lantai pelvik, pembentukan “neoanus” serta pemulihan laluan kencing kedua-dua pesakit.
“Pasukan neurosurgeri pediatrik pula melaksanakan pemetaan saraf dan diseksi secara teliti pada bahagian sakrum bagi melindungi integriti saraf tunjang serta keupayaan pergerakan kaki kembar tersebut.
“Pembedahan memisahkan kembar yang bercantum di bahagian tulang belakang bawah itu turut mendapat khidmat kepakaran pasukan anestesiologi bagi mengawal kestabilan hemodinamik serentak kedua-dua pesakit sepanjang operasi berlangsung,” katanya.
Pasangan kembar pramatang itu sebelum ini dilahirkan dengan selamat menerusi pembedahan secara Caesarean kecemasan pada usia kandungan 32 minggu hasil pengesanan awal ketika penjagaan antenatal.
Pihak hospital memaklumkan keupayaan melaksanakan prosedur rumit itu secara tempatan membolehkan intervensi kecemasan segera dilakukan tanpa memerlukan pesakit diterbangkan ke Semenanjung Malaysia.
Kedua-dua bayi berkenaan kini berada dalam keadaan stabil dan menerima penjagaan rapi khusus berterusan daripada pasukan pakar neonatologi HWKKS.
-- BERNAMA