Am 11/11/2026 07:30 PM

FRIM Inc Terjemah Penyelidikan Perhutanan Dan Inovasi Kepada Impak Kelestarian Global

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
FRIM Inc Terjemah Penyelidikan Perhutanan Dan Inovasi Kepada Impak Kelestarian Global
Kredit Foto: FRIM

KUALA LUMPUR, 11 Nov (Bernama) -- FRIM Incorporated Sdn Bhd (FRIM Inc.) terus memperkukuh peranannya dalam menterjemahkan kepakaran serta inovasi perhutanan tempatan kepada nilai ekonomi mampan, manfaat komuniti, dan impak alam sekitar yang nyata.

Sebagai anak syarikat milik penuh Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), FRIM Inc. berperanan sebagai jambatan pengkomersialan strategik yang menghubungkan teknologi serta penemuan saintifik FRIM dengan keperluan industri tempatan dan antarabangsa sejak penubuhannya pada 2017.

Ketua Pegawai Eksekutif FRIM Inc. Faizal Ramli berkata cabaran sektor penyelidikan hari ini bukan lagi sekadar menjana ilmu pengetahuan baharu, sebaliknya memastikan dapatan sains tersebut berupaya diterjemahkan secara tuntas kepada penyelesaian dunia sebenar.

“Kepakaran penyelidikan hanya akan mencapai potensi sepenuhnya apabila digembleng untuk menangani isu praktikal industri dan masyarakat. Matlamat utama kami adalah merapatkan jurang antara sains dan pelaksanaan komersial,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap penyelesaian mampan, FRIM Inc. memfokuskan kepada lima teras utama iaitu pengkomersialan produk berasaskan penyelidikan, pembekalan anak pokok berkualiti, latihan dan pembangunan kapasiti, perundingan teknikal serta pengurusan projek bersepadu.

Faizal berkata FRIM Inc. turut mengorak langkah ke persada global menerusi pelaksanaan program latihan pemuliharaan dan pengurusan hutan tropika di bawah Program Kerjasama Teknikal Malaysia (TCTP).

“Program ini berjaya menarik penyertaan pakar dan delegasi dari negara Afrika termasuk Rwanda, Uganda, dan Kenya, sekali gus mengukuhkan reputasi Malaysia sebagai hab rujukan pengurusan hutan tropika dunia.

“Inisiatif berkenaan bukan sahaja memperluas perkongsian kepakaran pemulihan ekosistem dan pengurusan landskap, malah membuka ruang bagi jalinan kerjasama rentas sempadan dalam menangani krisis iklim global,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata syarikat berkenaan turut mempergiat kerjasama dengan sektor swasta bagi membantu pelaksanaan agenda Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) menerusi pendekatan berasaskan sains.

Antara inisiatif yang sedang dilaksanakan ialah penyediaan Dokumen Huraian Projek (PDD) bagi pensijilan projek Verified Carbon Standard (VCS) bersama syarikat perkayuan, Shin Yang Trading Sdn Bhd bagi menyokong pembangunan projek karbon hutan yang memenuhi piawaian antarabangsa.

“Kelestarian memerlukan peralihan daripada retorik kepada tindakan praktikal. Kejayaan projek penghijauan tidak wajar diukur sekadar pada bilangan anak pokok yang ditanam, tetapi turut merangkumi kesesuaian spesies, kesihatan pokok, peningkatan biodiversiti setempat, dan faedah sosioekonomi jangka panjang,” katanya.

Faizal berkata menerusi gabungan kepakaran saintifik berdekad lamanya dan pendekatan komersial berdaya saing, FRIM Inc. komited memacu kedudukan Malaysia sebagai peneraju penyelesaian berasaskan alam semula jadi di peringkat serantau dan global. 

-- BERNAMA