KUALA LUMPUR, 11 Nov (Bernama) -- Syarikat perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) perlu meningkatkan skala perniagaan dan produktiviti bagi menjana pendapatan dan mewujudkan permintaan terhadap pekerja lebih berkemahiran dan menawarkan gaji lumayan, kata Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
Beliau berkata tumpuan kini perlu beralih daripada kuantiti kepada kualiti pembiayaan yang disalurkan kepada PMKS bagi memastikan syarikat berupaya berkembang dan kekal berdaya saing.
“Pembentangan daripada Bank Dunia pada hari ini menjurus ke arah keperluan supaya ia bukan lagi soal kuantiti pembiayaan, tetapi perlu melihat kepada kualiti pendanaan yang kita salurkan kepada PMKS. Dari segi akses kepada dana, Malaysia dilihat berada pada kedudukan yang baik.
“Namun, isu sebenar adalah kualiti dana yang disalurkan memandangkan perkara ini bukan sekadar memastikan mereka mendapat akses kepada pembiayaan, malah bagaimana syarikat kita kekal berdaya saing di peringkat global, terutama untuk meningkatkan produktiviti yang seterusnya membolehkan pembayaran gaji lebih tinggi dan mewujudkan pekerjaan berkualiti,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pelancaran laporan “Malaysia Economic Monitor October 2026, From Quantity to Quality: Financing Malaysia’s Productive SMEs” yang diterbitan Bank Dunia di sini hari ini.
Memetik laporan Kumpulan Bank Dunia, Akmal Nasrullah berkata kira-kira 38 peratus syarikat mempunyai pinjaman atau kemudahan kredit manakala kadar kelulusan pinjaman meningkat daripada kira-kira 68 peratus pada 2015 kepada 86 peratus pada 2024.
Bagaimanapun beliau berkata angka keseluruhan akses kepada pembiayaan itu tidak bererti semua syarikat terutama syarikat berskala kecil atau berinovasi dapat memperoleh pembiayaan bersesuaian.
“Peringkat seterusnya adalah mengenai kualiti, bukan sekadar kuantiti. Persoalannya ialah sama ada syarikat dapat memperoleh pembiayaan yang memenuhi keperluan pelaburan mereka dan menyokong peningkatan produktiviti,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai laporan itu, Akmal Nasrullah berkata PKS membiayai kira-kira dua pertiga daripada pelaburan aset tetap mereka melalui dana dalaman manakala pembiayaan luaran pula masih banyak bergantung kepada pinjaman bank, dengan pembiayaan melalui ekuiti dan bentuk modal lain yang melibatkan perkongsian risiko adalah terhad.
Keperluan cagaran konvensional yang lazimnya tertumpu kepada tanah dan bangunan boleh menjejaskan syarikat yang asetnya terdiri daripada mesin, akaun belum terima, perisian dan kepakaran teknikal.
Beliau berkata laporan “Economic Monitor” edisi April mendapati pembiayaan bank menyumbang kira-kira 28 peratus daripada pelaburan tetap dalam kalangan syarikat kecil dan sederhana berbanding kira-kira 50 peratus bagi syarikat besar yang menerajui pasaran.
Menurut Akmal Nasrullah keadaan itu menunjukkan keperluan untuk menyediakan pembiayaan yang lebih menepati keperluan syarikat yang berpotensi untuk berkembang.
“Perbandingan itu menekankan keperluan untuk meneliti sama ada kaedah pembiayaan cukup responsif terhadap keperluan syarikat yang mempunyai potensi pertumbuhan, dan bukannya menganggap ketersediaan kredit semata-mata sudah mencukupi,” katanya.
Mengenai dakwaan cip kecerdasan buatan NVIDIA dihantar ke China melalui negara ketiga di Asia Tenggara, beliau berkata setakat ini perkara itu masih dalam siasatan pihak berkuasa Amerika Syarikat.
“Isu ini lebih terkait dengan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri,” katanya.
-- BERNAMA