MANILA, 11 Nov (Bernama-PNA) -- Agensi Pembangunan Metropolitan Manila (MMDA) mengerahkan 2,637 anggota untuk menguruskan trafik dan keselamatan bagi Sidang Kemuncak ASEAN ke-49, lapor Agensi Berita Filipina (PNA).
Tiada penutupan jalan akan dilaksanakan bagi sidang kemuncak tersebut, kecuali di zon larangan keselamatan di sekitar Pusat Konvensyen Antarabangsa Filipina (PICC), kata Pengarah Pejabat Disiplin dan Penguatkuasaan Trafik MMDA, Victor Nuñez, dalam sidang media pada Rabu.
Nuñez berkata zon larangan tersebut merangkumi Jalan Atang Dela Rama, Jalan Vicente Sotto, Jalan Pedro Bukaneg dan Jalan Magdalena Jalandoni dari 9 hingga 18 Nov.
Hanya kenderaan yang mempunyai pelekat ASEAN dan kakitangan yang diberi kebenaran sahaja dibenarkan masuk ke kompleks PICC.
"Jadi, kami sentiasa konsisten dalam memaklumkan kepada orang ramai bahawa tiada penutupan jalan," katanya.
Sistem berhenti dan jalan (stop-and-go) hanya akan dilaksanakan apabila konvoi ketua-ketua negara melalui kawasan tersebut.
Laluan alternatif telah ditetapkan bagi pengguna jalan raya yang menghala ke utara, dengan mengalihkan trafik dari Diokno Blvd. dan Macapagal Blvd. ke Seaside Blvd., Macapagal Blvd., EDSA, dan Roxas Blvd.
Pengguna jalan raya yang menghala ke selatan di sepanjang Roxas Blvd. menuju ke Diokno Blvd. dan Macapagal Blvd. akan dilencongkan ke EDSA, Diokno Blvd. dan Macapagal Blvd.
Laluan bagi kenderaan berat (lori) akan diubah dari 15 hingga 18 Nov dan kenderaan yang menuju ke pelabuhan diwajibkan mempamerkan tanda yang jelas pada cermin depan bagi menunjukkan destinasi masing-masing.
Sebanyak 2,637 anggota MMDA akan ditugaskan dari 13 hingga 19 Nov termasuk petugas pembersihan jalan, Kumpulan Kecemasan Jalan Raya serta trak tunda bertauliah yang ditempatkan di sepanjang laluan ASEAN.
Pemangku Pengarah Kumpulan Rondaan Lebuh Raya (HPG) Polis Kebangsaan Filipina, Brigedier Jeneral Joyce Patrick Sangalang berkata HPG akan mengerahkan 716 anggota untuk mengiringi ketua-ketua negara, pasangan mereka, menteri-menteri serta perwakilan lain.
Penolong Setiausaha Jabatan Pengangkutan (DOTr) Manuel Cabochan III memaklumkan bahawa lorong bas di sepanjang EDSA akan diubah suai dan dikongsi bersama perwakilan ASEAN justeru keadaan trafik yang bergerak perlahan dan kerap berhenti dijangka berlaku dari terowong Ayala hingga ke jejambat Magallanes.
Sementara itu, skim pengehadan kenderaan berdasarkan nombor plat yang diperluas akan digantung dari 16 hingga 18 Nov iaitu tempoh yang telah diisytiharkan sebagai hari cuti khas di Wilayah Ibu Negara.
Sementara itu, pengerusi MMDA Romando Artes berkata waktu operasi pusat beli-belah di Metro Manila akan diubah kepada pukul 11 pagi hingga 11 malam dari 16 Nov hingga 25 Dis, kecuali pada hujung minggu dan cuti umum.
Aktiviti penghantaran ke pusat beli-belah akan dihadkan pada tempoh antara pukul 11 malam hingga 5 pagi, kecuali bagi barangan mudah rosak.
Beliau berkata jualan promosi yang melibatkan seluruh pusat beli-belah tidak dibenarkan pada hari bekerja manakala jualan promosi oleh kedai individu dibenarkan, dengan syarat pengendali pusat beli-belah mengemukakan pelan pengurusan trafik kepada MMDA dua minggu sebelum acara tersebut.
Restoran, kedai barangan runcit dan perkhidmatan kerajaan di dalam pusat beli-belah akan terus beroperasi seperti biasa, sementara pawagam dibenarkan dibuka lebih awal pada 25 Dis.
Beliau menambah kesesakan lalu lintas dijangka mencapai kemuncak dari 12 hingga 14 Dis memandangkan penduduk akan bergerak ke wilayah lain sempena musim cuti.
-- BERNAMA-PNA