HULU SELANGOR, 11 Nov (Bernama) -- Sebanyak 14 kawasan lokasi rekreasi di daerah Hulu Selangor dikenal pasti berisiko mengalami kejadian kepala air dengan Sungai Pertak, Sungai Siling dan Sungai Batang Kali menjadi tiga lokasi hotspot utama.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Ashrul Riezal Asbar berkata setakat tahun ini, Sungai Batang Kali merekodkan empat insiden kepala air diikuti Sungai Siling (tiga) dan Sungai Pertak (dua).
“Daripada sembilan kejadian kepala air yang direkodkan di tiga lokasi itu, hanya insiden (Isnin lepas) di Sungai Pertak melibatkan mangsa manakala kejadian lain tidak melibatkan sebarang mangsa,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Pos Kawalan Hadapan JBPM di Jambatan Pertak, di sini hari ini.
Ashrul Riezal berkata 11 lokasi lain yang turut dikenal pasti berisiko ialah Lata Medang di Kuala Kubu Bharu, Sungai Inki (Ingki) di Kalumpang dan River View Sungai Bernam di Hulu Selangor.
Katanya, lokasi lain ialah Sungai Sendat dan Sungai Tua di Ulu Yam, Sungai Kedondong di Batang Kali, Sungai Cilin di Kuala Kubu Bharu serta Sungai Pinang di Batang Kali selain Air Terjun Serendah di Serendah, Air Terjun Semangkuk dan Sungai Liam di Hulu Selangor.
Ashrul Riezal berkata susulan Monsun Timur Laut (MTL), JBPM menasihatkan orang ramai supaya menangguhkan sementara aktiviti rekreasi air bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
“Nasihat itu meliputi aktiviti mandi-manda, berenang, berkelah dan berkhemah di kawasan sungai, jeram, air terjun serta tali air sepanjang tempoh berkenaan.
“Nasihat itu adalah bagi meningkatkan kesedaran masyarakat setempat dan pengunjung mengenai bahaya kepala air, khususnya ketika keadaan cuaca tidak menentu sepanjang musim berkenaan,” katanya.
Lapan individu masing-masing seorang warga tempatan, Yaman, Sri Lanka, Nepal dan empat warga India dilaporkan hilang selepas dihanyutkan arus deras akibat kepala air dalam kejadian di Sungai Pertak pada 5.30 petang Isnin lepas.
Lima mangsa ditemukan lemas pagi semalam terdiri daripada warga tempatan V. Vijayan, 36, warga Nepal yang dikenali sebagai Kapali, 49, dan B. Kunjanmalayil, 35, warga India manakala dua lagi mangsa belum dikenal pasti ialah lelaki warga India dan Sri Lanka.
Usaha pencarian tiga lagi mangsa, iaitu dua warga India dan seorang warga Yaman masih diteruskan.
-- BERNAMA