KUALA SELANGOR, 9 Nov (Bernama) -- Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Nur Azwa Syarafina Roslan tetap melakukan ulang kaji pelajaran walaupun terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) akibat banjir dari Jumaat lepas.
Pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Muda Musa itu berkata perlu menyesuaikan diri dengan suasana di PPS Sekolah Rendah Agama (SRA) Ijok memandangkan tarikh peperiksaan tersebut semakin hampir.
“Saya dapat mengulang kaji pelajaran dengan baik tetapi berharap keluarga dapat kembali ke rumah sebelum SPM bermula,” katanya ketika ditemui di PPS itu hari ini.
Harapan Nur Azwa Syarafina, 17, turut dikongsi penduduk lain di Ijok dan Jeram memandangkan kediaman mereka mengalami banjir termenung dengan paras air di beberapa lokasi mencecah 1.2 meter.
Penduduk Batu 7 Kampung Ijok Mubaana Nor, 68, berkata banjir itu paling buruk dialaminya meskipun sudah tujuh kali berhadapan situasi sama dari 2021, apabila rumahnya masih dinaiki air separas lutut dari petang Jumaat lepas.
“Banjir termenung belum surut berikutan hujan lebat sering berlaku pada sebelah petang menyebabkan paras air kembali meningkat,” katanya.
Suri rumah Nur Hafiza Ismail, 47, berkata bimbang melihat situasi itu kerana akan menyebabkan mereka perlu tinggal lebih lama di PPS, selepas berpindah ke situ pada Jumaat lepas susulan air mula memasuki kawasan rumahnya di Jalan Haji Ehsan, Ijok sehari sebelumnya.
Berdasarkan statistik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Mahang menempatkan 92 mangsa banjir daripada 22 keluarga, PPS SRA Ijok (77 mangsa, 21 keluarga) dan PPS SK Jaya Setia (71 mangsa, 21 keluarga).
Antara kawasan masih terjejas banjir ialah Kampung Bukit Hijau, Kampung Bukit Kuching Tengah, Batu 7 Kampung Ijok dan Kampung Jaya Setia.
Tinjauan mendapati puluhan kediaman penduduk serta beberapa laluan termasuk Jalan Robinson, Jalan Rezab Derahman dan Jalan Rezab Zazuli masih dinaiki air.
Sementara itu, Ketua Zon 7 Selangor Utara JBPM Selangor Samsol Maarif Saibani berkata pemantauan mendapati paras air di beberapa lokasi menunjukkan trend peningkatan susulan hujan pada sebelah petang dan fenomena air pasang besar menyebabkan limpahan air.
Beliau berkata setakat ini, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan bomba serta agensi berkaitan melakukan pemantauan berterusan bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.
-- BERNAMA