Am 09/11/2026 07:29 PM

MTIB Perkenal Produk Wangian Berasaskan Gaharu Bantu Pekebun Kecil Tingkat Hasil

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
MTIB Perkenal Produk Wangian Berasaskan Gaharu Bantu Pekebun Kecil Tingkat Hasil
Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad (tengah) semasa mengadakan lawatan ke reruai produk usahawan agrokomoditi pada majhlis Perasmian Festival Usahawan Agrikomoditi 2026 di Banda Hilir. --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

MELAKA, 9 Nov (Bernama) -- Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) memperkenalkan produk wangian berasaskan gaharu buat pertama kali sebagai usaha mempromosikan potensi bahan berkenaan dalam penghasilan produk hiliran bernilai tinggi.

Penolong Pengarah Kanan Bahagian Pembangunan Industri MTIB Nor Shahira Mat Nasir berkata inisiatif itu juga bertujuan membantu pekebun kecil meningkatkan nilai tambah hasil tanaman pokok karas yang menjadi sumber penghasilan gaharu.

Beliau berkata gaharu Malaysia mempunyai potensi besar untuk dikembangkan sebagai produk wangian yang mempunyai permintaan serta nilai komersial tinggi.

“MTIB mengambil masa kira-kira tiga bulan untuk menghasilkan formulasi wangian berkenaan yang menggabungkan aroma Turkish rose, sandalwood dan oud berdasarkan pilihan bau oleh Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

“Gabungan bahan itu menghasilkan wangian yang unik dan istimewa,” katanya selepas pelancaran minyak wangi itu sempena Festival Usahawan Agrikomoditi 2026 di Banda Hilir di sini hari ini.

Beliau bagaimanapun berkata produk wangian yang diperkenalkan itu bukan untuk pasaran komersial, sebaliknya dijadikan cenderamata korporat bagi tujuan promosi dan memperkenalkan wangian berasaskan gaharu tempatan.

Sementara itu, Nor Shahira berkata sempena Festival Usahawan Agrikomoditi 2026 yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini, MTIB membawa 12 vendor serta usahawan berasaskan gaharu, termasuk minyak wangi, produk aromaterapi dan produk kesihatan bagi mempromosikan potensi industri berkenaan.

-- BERNAMA