Am 09/11/2026 07:17 PM

KKM Siap Siaga Hadapi Banjir, Sedia 85 Pasukan Perubatan

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
KKM Siap Siaga Hadapi Banjir, Sedia 85 Pasukan Perubatan
Kredit: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)

PUTRAJAYA, 9 Nov (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) menyediakan 85 Pasukan Perubatan Kecemasan membabitkan 387 anggota bagi menghadapi kemungkinan banjir sepanjang Monsun Timur Laut (MTL) 2026/2027.

KKM dalam kenyataan hari ini memaklumkan pasukan itu terdiri daripada 36 Pasukan Penilaian Pantas dan Pasukan Tindak Cepat Kesihatan, Pasukan Tindak Cepat Perubatan (34) serta Pasukan Sokongan Kesihatan Mental dan Psikososial (15).

“Pasukan akan digerakkan mengikut keperluan bagi melaksanakan penilaian risiko kesihatan, menyediakan perkhidmatan perubatan dan rawatan kecemasan, menjalankan survelan serta kawalan penyakit berjangkit dan memberi sokongan kesihatan mental serta psikososial kepada mangsa banjir,” menurut kenyataan itu.

KKM turut menyediakan 128 kenderaan bagi menyokong mobilisasi anggota dan operasi di lapangan dengan bekalan ubat berkaitan banjir di gudang pembekal konsesi berada pada tahap stabil dengan anggaran untuk satu hingga tiga bulan.

Selain itu, KKM melalui Pusat Kesiapsiagaan dan Respons Krisis (CPRC) Kebangsaan, jabatan kesihatan negeri (JKN), pejabat kesihatan daerah dan fasiliti kesihatan di seluruh negara turut memperkukuh kesiapsiagaan bagi memastikan perkhidmatan kesihatan terus beroperasi, khususnya di kawasan berisiko banjir.

CPRC Kebangsaan berada pada tahap berjaga-jaga dari 27 Okt dengan pemantauan situasi banjir, kesiapsiagaan fasiliti kesihatan dan penyelarasan tindakan respons dilaksanakan secara berterusan bersama dengan JKN serta agensi berkaitan.

KKM memaklumkan turut mengenal pasti fasiliti kesihatan berisiko banjir serta fasiliti alternatif jika berlaku gangguan operasi selain perancangan pemindahan awal pesakit berisiko tinggi termasuk ibu hamil dan pesakit memerlukan rawatan hemodialisis.

Di pusat pemindahan sementara (PPS), KKM memaklumkan menyediakan perkhidmatan penilaian kesihatan, pemantauan penyakit berjangkit, pemeriksaan kebersihan persekitaran, keselamatan makanan dan air, kawalan vektor serta sokongan kesihatan mental dan psikososial.

Langkah itu bertujuan mengurangkan risiko penyakit berkaitan banjir termasuk cirit-birit, keracunan makanan, leptospirosis dan jangkitan saluran pernafasan.

KKM turut menasihatkan orang ramai supaya menggunakan air minuman yang bersih dan selamat, mengambil makanan dimasak sempurna serta mengelakkan makanan yang tercemar akibat banjir.

Orang ramai juga dinasihatkan menjaga kebersihan diri dan persekitaran, kerap mencuci tangan dengan air bersih dan sabun serta mengelakkan sentuhan langsung dengan air banjir yang berkemungkinan tercemar.

“Mereka yang mengalami gejala seperti demam, cirit-birit, muntah dan sakit otot selepas terdedah kepada air banjir disaran mendapatkan pemeriksaan dan rawatan segera di fasiliti kesihatan,” menurut kenyataan itu.

KKM turut mengingatkan pesakit kronik, warga emas, wanita hamil dan kanak-kanak supaya memastikan kesinambungan rawatan serta bekalan ubat mencukupi jika mereka perlu berpindah ke PPS.

-- BERNAMA