Dunia 09/11/2026 07:18 PM

Bank Of Thailand Gesa Institusi Kewangan Perkukuh Keselamatan Siber

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Bank Of Thailand Gesa Institusi Kewangan Perkukuh Keselamatan Siber

Oleh Teng Khoon Hock

BANGKOK, 9 Nov (Bernama) -- Bank of Thailand (BOT) menggesa institusi kewangan memperkukuh langkah keselamatan siber masing-masing dan sentiasa berwaspada terhadap kemungkinan serangan siber susulan insiden yang membabitkan institusi kewangan di negara lain.

Timbalan Gabenor BOT untuk Kestabilan Institusi Kewangan Suwannee Jatsadasak berkata setakat ini tiada serangan siber yang menyasarkan institusi kewangan dikesan di Thailand dan perkhidmatan kewangan negara itu tidak terjejas.

"BOT sedang memantau dengan teliti insiden yang berlaku di luar negara dan telah mengadakan pertemuan dengan ketua pegawai teknologi institusi kewangan, Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komputer Sektor Perbankan Thailand (TB-CERT) dan Persatuan Bank-Bank Thailand (TBA) untuk memperkukuh langkah pencegahan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu dalam kenyataan yang disiarkan di laman Facebook Jabatan Perhubungan Awam Kerajaan Thailand pada Isnin.

Suwannee berkata institusi kewangan turut diarahkan untuk meningkatkan perkongsian maklumat, menjalankan penilaian bersama terhadap ancaman baharu yang muncul dan menyediakan tindak balas sewajarnya terhadap pelbagai tahap risiko siber.

Beliau turut menekankan bahawa BOT dan institusi kewangan akan terus memantau perkembangan semasa dengan teliti serta memastikan sistem teknologi maklumat masing-masing mematuhi piawaian keselamatan yang ditetapkan.

"Mereka juga akan menjalankan latihan tindak balas kecemasan mengikut Pelan Kesinambungan Perniagaan (BCP) masing-masing bagi memastikan keselamatan dan kebolehpercayaan perkhidmatan kewangan terus terpelihara," katanya.

Suwannee menjelaskan langkah-langkah yang diambil itu bertujuan melindungi perkhidmatan kewangan dan mengekalkan keyakinan orang ramai di tengah-tengah ancaman keselamatan siber yang semakin meningkat.

-- BERNAMA