KOTA BHARU, 9 Nov (Bernama) -- Sebanyak 59 anggota Pasukan Sokongan Psikologi daripada pelbagai agensi termasuk Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan akan digerakkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Kelantan bagi membantu menangani trauma dan tekanan emosi mangsa banjir sepanjang Monsun Timur Laut (MTL) 2026/2027.
Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan Che Samsuzuki Che Noh berkata selain sokongan psikologi, pasukan berkenaan juga akan mengadakan pelbagai aktiviti bagi membantu mengurangkan tekanan emosi mangsa sepanjang berada di PPS.
“JKM Kelantan turut menggerakkan 400 pegawai dan staf, 13 pegawai kaunselor serta 327 sukarelawan bagi memastikan operasi pengurusan bencana dan penyaluran bantuan berjalan lancar,” katanya kepada pemberita selepas melawat Mini Depot Bencana JKM Kelantan di sini hari ini.
Beliau menggalakkan orang ramai yang berminat untuk menjadi sukarelawan supaya mendaftar dengan JKM lebih awal bagi memudahkan penyelarasan tenaga bantuan ketika bencana.
Che Samsuzuki turut menggesa orang ramai supaya membuat pendaftaran awal menerusi aplikasi MyIBJKM bagi memudahkan urusan apabila mereka dipindahkan ke PPS.
Beliau berkata maklumat yang perlu dilengkapkan dalam aplikasi itu merangkumi butiran Ketua Isi Rumah (KIR), ahli keluarga, tempat tinggal serta sekolah anak-anak bagi membolehkan pemprofilan mangsa dilakukan lebih awal.
“Maklumat ini penting bagi memudahkan pengurusan data dan mengelak pertindihan maklumat. Apabila pendaftaran dibuat, maklumat berkenaan akan disalurkan terus kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara, sekali gus membantu mempercepat urusan bantuan termasuk Bantuan Wang Ihsan,” katanya.
Setakat ini, sebanyak 79,455 KIR dengan keseluruhan 135,616 ahli rumah direkodkan dalam sistem berkenaan, manakala 69,101 KIR telah mendaftar menerusi aplikasi MyIBJKM pada tahun kedua pelaksanaannya.
Beliau turut meminta JKM di peringkat daerah mempergiat kempen pendaftaran aplikasi itu semasa mengadakan simulasi pengurusan bencana bagi mengelak kesesakan dan kelewatan urusan pendaftaran ketika banjir.
-- BERNAMA