Dunia 09/11/2026 07:28 PM

Cadangan Dua Hari Kepada AS Tawar Pelan Tindakan Pulihkan Keselamatan Di Selat Hormuz - Iran

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Cadangan Dua Hari Kepada AS Tawar Pelan Tindakan Pulihkan Keselamatan Di Selat Hormuz - Iran
Okt. 24, 2026. (Amirhosein Khorgooi/ISNA via AP)

ISTANBUL, 9 Nov (Bernama-Anadolu) -- Iran menegaskan  pada Isnin bahawa cadangan dua harinya kepada Amerika Syarikat (AS) kekal sebagai pelan tindakan paling praktikal bagi memulihkan keselamatan di Selat Hormuz, sambil menekankan bahawa sebarang kemajuan bergantung kepada kemahuan politik Washington, lapor Anadolu Ajansi memetik media tempatan.

Jurucakap Kementerian Luar Esmaeil Baqaei berkata cadangan itu menawarkan rangka kerja yang jelas dan terikat dengan tempoh masa bagi meredakan ketegangan di laluan maritim strategik berkenaan, lapor agensi berita separa rasmi Tasnim.

Bercakap pada sidang media mingguannya, Baqaei menjelaskan bahawa Tehran tidak mengemukakan sebarang cadangan baharu kepada Washington, sebaliknya menegaskan pelan dua hari sedia ada Iran masih kekal untuk dibincangkan.

Beliau berkata cadangan itu membuktikan peranan utama Iran dalam memelihara keselamatan di Selat Hormuz dan kawasan Teluk.

Baqaei berhujah bahawa usaha memulihkan keselamatan di laluan tenaga global menuntut Washington mempamerkan iltizam politik yang tulen untuk mengatasi kebuntuan diplomatik ketika ini.

Menurutnya, tuntutan Iran merangkumi penamatan sekatan laut AS, pemberhentian peperangan, pelepasan aset Iran yang dibekukan serta penarikan balik sekatan yang dikenakan sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Baqaei mendakwa tuntutan itu sebelum ini telah dipersetujui oleh Washington di bawah Memorandum 14 Perkara Islamabad, namun mendakwa AS kemudiannya memungkiri komitmen berkenaan.

Jurucakap itu menegaskan Tehran hanya akan memeterai dan melaksanakan perjanjian yang melindungi sepenuhnya kepentingan nasional serta hak Iran di sisi undang-undang.

Beliau turut menyatakan Iran sentiasa mengadakan rundingan secara tetap  bersama pihak perantara iaitu Pakistan dan Qatar, di samping merakamkan penghargaan atas usaha diplomatik kedua-dua negara terbabit.

Menyentuh isu keselamatan maritim, Baqaei berkata semua kapal yang melalui Selat Hormuz perlu berkoordinasi dengan pihak berkuasa Iran bagi memastikan keselamatan navigasi pelayaran.

Beliau menyalahkan tindakan ketenteraan AS dan Israel atas ketidaktentuan keselamatan di laluan maritim itu kebelakangan ini, sambil menegaskan tentera Iran sentiasa bersiap siaga untuk bertindak balas terhadap sebarang ancaman.

-- BERNAMA-ANADOLU