KOTA BHARU, 9 Nov (Bernama) -- Semua bekalan makanan dan barangan keperluan bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2026/2027 di Kelantan sudah dihantar ke 162 pangkalan hadapan di daerah yang dikenal pasti paling berisiko dan terjejas sejak Oktober lepas.
Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan Che Samsuzuki Che Noh berkata langkah itu bagi memastikan bekalan bantuan dapat disalurkan segera kepada mangsa banjir apabila pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka.
Beliau berkata antara daerah yang diberi tumpuan ialah Kota Bharu, Pasir Mas, Tumpat dan Gua Musang, manakala persiapan bagi menguruskan PPS juga sudah dilakukan lebih awal.
“Peranan utama jabatan adalah memastikan bekalan makanan asas dan keperluan lain disediakan kepada mangsa banjir sepanjang tempoh mereka ditempatkan di PPS,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Mini Depot Bencana JKM Kelantan di sini hari ini.
Che Samsuzuki berkata sebanyak 10 tukang masak akan ditempatkan di setiap 451 PPS di seluruh negeri pada musim tengkujuh ini dan diwajibkan mendapatkan suntikan vaksin tifoid sebelum memulakan tugas.
Beliau berkata bekalan makanan dan minuman akan disediakan secara bergotong-royong manakala bagi mangsa yang berpindah ke PPS lebih awal, mereka akan dibekalkan pek makanan yang boleh dipanaskan segera.
"Sebanyak 127 pembekal tempatan turut dilantik bagi membekalkan bahan mentah seperti ayam dan daging ke semua PPS berkenaan,” katanya.
Sementara itu, Che Samsuzuki berkata Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM3.5 juta tahun ini bagi menyediakan barangan keperluan asas termasuk selimut, tikar dan barangan penting lain untuk mangsa banjir manakala kerajaan negeri memperuntukkan RM1 juta bagi makanan dan minuman kepada mangsa di PPS.
Beliau berkata peruntukan Kerajaan Persekutuan bagi bantuan banjir tahun lepas ialah RM3 juta berbanding RM3.5 juta tahun ini.
Hari ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap buruk dan waspada membabitkan beberapa kawasan di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Sabah hingga Rabu.
Ketua Pengarah Dr Mohd Hisham Mohd Anip dilapor berkata analisis terhadap model-model ramalan cuaca, menunjukkan luruan monsun dijangka memasuki rantau negara hingga Rabu yang berpotensi menyebabkan hujan lebat berterusan, khususnya di kawasan pantai timur Semenanjung dan timur Sabah.
Menerusi kenyataan yang dikemas kini setakat 8.30 pagi tadi, Mohd Hisham memaklumkan amaran hujan berterusan tahap buruk melibatkan lima jajahan di Kelantan iaitu Bachok, Kota Bharu, Tumpat, Pasir Mas dan Pasir Puteh.
-- BERNAMA