KUALA LUMPUR, 9 Nov (Bernama) -- Jumlah mangsa banjir di Selangor kembali meningkat manakala situasi di Perak menunjukkan sedikit pemulihan, menjadikan keseluruhan 1,002 orang masih berlindung di enam pusat pemindahan sementara (PPS) di kedua-dua negeri setakat petang ini.
Di SELANGOR, jumlah mangsa meningkat lebih dua kali ganda kepada 583 orang daripada 163 keluarga setakat 3.40 petang berbanding 215 orang membabitkan 55 keluarga pagi tadi.
Menurut portal InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat, kesemua mangsa ditempatkan di empat PPS dalam daerah Kuala Selangor, iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Dato' Maharaja Lela (326 orang daripada 97 keluarga), SK Parit Mahang (154 mangsa, 36 keluarga), Sekolah Agama Batu 8 Ijok (77 mangsa, 21 keluarga) dan SK Jaya Setia (26 mangsa, sembilan keluarga).
Mangsa terdiri daripada 163 lelaki dewasa, 184 perempuan dewasa, 127 kanak-kanak lelaki, 97 kanak-kanak perempuan, tujuh bayi lelaki dan lima bayi perempuan selain 56 warga emas serta 11 orang kurang upaya (OKU).
Di PERAK, jumlah mangsa di Hilir Perak mencatatkan sedikit penurunan kepada 419 orang daripada 124 keluarga berbanding 439 orang daripada 130 keluarga pada sebelah pagi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan sebanyak 284 orang daripada 85 keluarga ditempatkan di Dewan Rumah Rehat Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) manakala 135 mangsa daripada 39 keluarga berlindung di Dewan MPTI Langkap.
Sementara itu, sebanyak 26 mangsa kejadian ribut telah dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing tengah hari tadi susulan penutupan PPS Dewan Komuniti Manjung.
Dua sungai di Perak melepasi tahap bahaya, iaitu Sungai Kinta di Tanjung Tualang yang mencatat bacaan 12.52 meter dan Sungai Bidor di Changkat Jong (3.55 meter).
-- BERNAMA