KUALA PILAH, 9 Nov (Bernama) -- Seorang pemandu lelaki sebelum ini terbabit dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan dan didapati positif dadah, sekali lagi dikaitkan dengan kemalangan di Jalan Seremban-Kuala Pilah, berhampiran pekan Tanjong Ipoh, di sini, Sabtu lepas.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah Superintendan Muhamad Mustafah Hussin berkata kemalangan kira-kira 2.45 petang itu, dipercayai berlaku apabila kereta Toyota Vios dipandu suspek dalam perjalanan dari arah Seremban menuju ke Bahau, sebelum melanggar bahagian belakang sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Nissan Grand Livina.
Beliau berkata akibat daripada perlanggaran tersebut menyebabkan Nissan Grand Livina itu menggelongsor ke hadapan sebelum melanggar sebuah kereta Proton Wira.
“Hasil pemeriksaan urin pihak polis menemukan bahan yang disyaki dadah jenis MDMA dan Eramin 5. Suspek berkenaan ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Pilah untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Muhamad Mustafah berkata suspek berusia 39 tahun itu, sebelum ini pernah dituduh mengikut Seksyen 44(1A) Akta Pengangkutan Jalan 1987, kerana kesalahan memandu di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kecederaan kepada pengguna jalan raya lain.
Beliau berkata tiada kecederaan dilaporkan membabitkan semua pemandu yang terlibat dalam kemalangan itu, namun ketiga-tiga kenderaan mengalami kerosakan dan kes disiasat mengikut Kaedah 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (LN 166/59).
-- BERNAMA