Am 02/11/2026 10:20 PM

Kerjasama Persekutuan-Sarawak Perkukuh Pembangunan Sektor Pengangkutan - Loke

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Kerjasama Persekutuan-Sarawak Perkukuh Pembangunan Sektor Pengangkutan - Loke
Menteri Pengangkutan Anthony Loke --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

KUALA LUMPUR, 2 Nov (Bernama) -- Kerjasama erat dan hubungan kerja yang kukuh antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sarawak berjaya merealisasikan pelbagai agenda pembangunan sektor pengangkutan berimpak tinggi di negeri itu dalam tempoh yang singkat.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata kerjasama erat merentasi perbezaan latar belakang parti politik bersama timbalannya, Datuk Hasbi Habibollah membolehkan beberapa perkara besar ditunaikan untuk rakyat Sarawak.

Antara pencapaian utama termasuk sokongan padu dalam merealisasikan syarikat penerbangan milik Sarawak, penyerahan semula Lembaga Pelabuhan Bintulu kepada kerajaan negeri, pengenalan sistem pengangkutan awam BAS.MY di Kuching serta projek menaik taraf Lapangan Terbang Miri dan pembinaan kompleks baharu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Limbang.

“Dalam beberapa tahun ini, semenjak kombinasi kami di Kementerian Pengangkutan, saya bersama Datuk Hasbi amat gembira menyatakan bahawa walaupun kami daripada latar belakang parti yang berlainan, namun kerjasama kami dalam kementerian cukup erat dan tidak pernah ada masalah.

“Kami sentiasa mempunyai hubungan kerja yang cukup baik dan hasilnya kami nampak banyak perkara yang boleh dilaksanakan dan dapat diselesaikan,” katanya menerusi rakaman video ucapan sempena Majlis Pecah Tanah Pejabat JPJ Cawangan Limbang pada 28 Okt lepas, yang dimuat naik di Facebook beliau hari ini.

Loke ketika menyentuh mengenai penubuhan syarikat penerbangan Sarawak berkata matlamat berkenaan berjaya dicapai dalam tempoh kurang tiga tahun menerusi kerjasama strategik kedua-dua pihak.

“Untuk Sarawak, beberapa perkara besar telah pun kami tunaikan di Kementerian Pengangkutan secara bersama. Pertama, dalam tempoh penggal ini sahaja, kami membantu merealisasikan hasrat Kerajaan Negeri Sarawak untuk mempunyai syarikat penerbangan sendiri,” katanya.

Beliau berkata syarikat penerbangan AirBorneo kini telah mula beroperasi dan mengambil alih perkhidmatan MASwings, dengan kesemua pesawat ATR kini di bawah AirBorneo, selain perancangan pengoperasian pesawat jet yang bakal menghubungkan Sarawak ke pelbagai destinasi serantau.

Selain sektor penerbangan, Loke berkata Kerajaan Persekutuan turut memenuhi tuntutan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dengan mengembalikan kuasa pelabuhan kepada negeri berkenaan.

Bagi pengangkutan darat, Loke berkata kementerian telah memperluaskan rangkaian pengangkutan awam dengan menyalurkan pembiayaan terus kepada Sarawak yang sebelum ini tidak pernah dinikmati.

"Di peringkat jabatan pula, kami telah memulakan perkhidmatan BAS.MY di Kuching, iaitu satu inisiatif penting Kementerian Pengangkutan memandangkan Sarawak sebelum ini tidak pernah mempunyai sistem bas henti-henti yang dibiayai Kerajaan Persekutuan.

“Bermula di Kuching, kami berharap perkhidmatan ini dapat diperluaskan ke kawasan lain pada masa hadapan. Bagi JPJ pula, ini adalah satu-satunya pembinaan bangunan baharu untuk penggal ini dan kami akan melihat keperluan di lokasi lain selepas ini,” katanya.

Sementara itu, beliau ketika menyentuh mengenai kesalinghubungan bahagian utara Sarawak memaklumkan projek pembesaran dan menaik taraf Lapangan Terbang Miri telah mendapat kelulusan Kementerian Kewangan demi menampung limpahan penumpang serta merancakkan pertumbuhan kawasan sekitarnya, termasuk Bahagian Limbang.

“Projek ini adalah satu pintu masuk penting untuk Limbang dan saya yakin kapasitinya boleh dipertingkatkan. Ini membolehkan lebih banyak penerbangan ditambah, seterusnya membawa lebih ramai pengunjung ke sini, yang amat penting bagi merancakkan pembangunan kawasan Limbang,” katanya.

-- BERNAMA