KUALA LUMPUR, 2 Nov (Bernama) -- Malaysia dan Finland meneroka ruang untuk memperkukuh kerjasama dua hala dalam sektor pendidikan tinggi dengan memberi tumpuan khusus terhadap penyelidikan, inovasi serta adaptasi terhadap perkembangan kecerdasan buatan (AI).
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata perkara itu dibincang semasa beliau menerima kunjungan hormat Duta Besar Finland ke Malaysia Anne Vasara bersama dengan Duta Khas bagi Pendidikan, Kesihatan dan Kesejahteraan, Eksport Perkhidmatan serta Jenama Pengguna Kementerian Luar Negeri Finland Outi Hakanen.
Beliau berkata pertemuan itu menjadi platform strategik dalam mengeratkan hubungan kedua-dua negara khususnya dalam bidang pendidikan tinggi, penyelidikan, inovasi dan pembangunan bakat.
"Finland sememangnya terkenal dengan pendekatan pendidikannya yang menekankan kualiti, inovasi dan kesejahteraan pelajar... banyak pengalaman dan amalan terbaik yang boleh dikongsi dalam usaha memperkukuh ekosistem pendidikan tinggi kedua-dua negara.
"Saya turut menekankan kepentingan memperluas kerjasama antara universiti, pertukaran kepakaran dan penyelidikan bersama khususnya dalam menghadapi perubahan teknologi serta perkembangan kecerdasan buatan (AI)," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Zambry turut menzahirkan harapan agar perbincangan itu menjadi pemangkin kepada hubungan yang lebih erat dan memberi manfaat menyeluruh kepada institusi, ahli akademik serta mahasiswa kedua-dua negara.
-- BERNAMA