IPOH, 2 Nov (Bernama) -- Polis menahan lima lelaki warga China disyaki terbabit dengan sindiket penipuan pelaburan dalam satu serbuan di sebuah rumah di Anjung Bercham Utama di sini, Jumaat lepas.
Ketua Polis Perak Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata bertindak atas maklumat aktiviti penipuan tersebut, kesemua suspek berusia lingkungan 26 hingga 43 tahun itu ditahan kira-kira 6.30 petang.
"Berdasarkan siasatan awal dan skrip perbualan yang ditemukan dalam komputer yang dirampas, pihak polis percaya sindiket ini menjalankan aktiviti pusat panggilan atau call centre bagi tujuan penipuan pelaburan tidak wujud secara dalam talian.
"Sindiket ini dipercayai mula beroperasi di premis berkenaan sejak September dan menyasarkan mangsa dari negara Jerman," katanya dalam kenyataan malam ini.
Beliau berkata sindiket itu menggunakan aplikasi WhatsApp serta capaian Internet tempatan untuk menjalankan aktiviti penipuan, dan mereka menyamar dengan menggunakan gambar wanita berpenampilan menarik bagi menghubungi mangsa secara rawak.
Mohd Alwi berkata mangsa kemudiannya dipujuk untuk terlibat dalam urusan pelaburan syarikat yang bertapak di Jerman bagi mendapatkan keuntungan yang tinggi, dan mangsa seterusnya diminta membuat pembayaran secara berulang kali.
Pihak polis turut merampas lima unit komputer, 10 telefon bimbit, empat router yang dianggarkan bernilai kira-kira RM25,000.
Kesemua suspek direman selama empat hari bermula Sabtu hingga esok bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 420 dan 120B Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen.
-- BERNAMA