Am 02/11/2026 10:29 PM

Projek Jalan Luar Bandar Di Sabah Tidak Dibatalkan, Hanya Ditangguhkan - Mustapha

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Projek Jalan Luar Bandar Di Sabah Tidak Dibatalkan, Hanya Ditangguhkan - Mustapha
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) merangkap Ahli Parlimen Sepanggar Datuk Ts Mustapha Sakmud pada sesi menggulung perbahasan Peringkat Jawatankuasa untuk Perbelanjaan Mengurus dan Pembangunan Tahun 2027 sempena Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima, Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen hari ini.

KUALA LUMPUR, 2 Nov (Bernama) -- Projek pembangunan jalan luar bandar bernilai RM1.7 bilion di Sabah tidak dibatalkan, sebaliknya hanya ditangguhkan bagi semakan dan penjajaran siling peruntukan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud.

Beliau berkata penjelasan berhubung perkara itu telah diberikan secara terperinci oleh Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan ketika sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2027 peringkat dasar bagi Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat pada Khamis.

“Saya masih kekal dengan kenyataan saya bahawa projek-projek ini tidak dibatalkan, projek-projek ini hanya ditangguhkan dan ini telah dijelaskan secara terperinci oleh Menteri Kewangan II.

“Apabila disebut dalam Dewan yang mulia ini, rakyat di luar sana bertanya, media tanya, jadi saya kena respons berdasarkan fakta yang ada. Alhamdulillah, telah diterangkan secara jelas oleh Menteri Kewangan II untuk kefahaman bersama,” katanya ketika menggulung perbahasan RUU berkenaan peringkat jawatankuasa bagi Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) di Dewan Rakyat, hari ini.

Isu status projek berkenaan sebelum ini mencetuskan polemik dan tanda tanya susulan dakwaan percanggahan kenyataan mengenai penangguhan pelaksanaan 13 projek infrastruktur jalan luar bandar, khususnya di Sabah dan Sarawak.

Terdahulu, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau (UPKO-Tuaran) ketika bangkit mencelah meminta kepastian mengenai status sebenar 13 projek itu.

Beliau turut mempersoalkan peranan portfolio hal ehwal Sabah dan Sarawak dalam memperjuangkan isu berkenaan memandangkan penjelasan mengenainya diberikan oleh Kementerian Kewangan. 

Datuk Willie Mongin (GPS-Puncak Borneo) yang turut mencelah pula mendakwa terdapat kontraktor di kawasannya memaklumkan menerima surat pembatalan projek pembangunan jalan luar bandar, sekali gus meminta isu berkenaan diselaraskan secara telus.

Mengulas perkara itu, Mustapha bersetuju perkara berhubung dasar dan pelaksanaan projek wajar dibincangkan secara dalaman pada peringkat Jemaah Menteri, dan tidak sepatutnya dibangkitkan dalam Dewan bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

Dalam perkembangan lain, Mustapha mencadangkan supaya pengambilan pelajar bagi program perubatan di Universiti Malaysia Sabah (UMS) memberikan keutamaan kepada anak kelahiran negeri itu sebagai langkah jangka panjang menangani kekurangan tenaga perubatan di Sabah.

Beliau berkata cadangan itu mengambil kira isu 245 pegawai perubatan yang telah menerima surat penempatan tetapi tidak melapor diri untuk bertugas di negeri berkenaan.

Wilfred sebelum itu membangkitkan kebimbangan mengenai keengganan doktor berkenaan yang menyebabkan krisis kekurangan tenaga perubatan di kebanyakan hospital di Sabah walaupun pelbagai elaun penempatan disediakan kerajaan.

“Kita kena pastikan pengambilan pelajar perubatan di UMS biarlah daripada anak-anak Sabah. Sebab kalau anak-anak Sabah ini layak, terutamanya yang keputusannya baik, ini akan memastikan mereka kekal dan berkhidmat di negeri Sabah,” katanya.

Beliau turut mencadangkan agar syarat perkhidmatan di Sabah ditetapkan sekiranya terdapat pengambilan pelajar perubatan dari negeri-negeri lain.

Dewan Rakyat kemudian meluluskan anggaran perbelanjaan mengurus dan pembangunan 2027 berjumlah RM8,798,331,500 yang diperuntukkan kepada Jabatan Perdana Menteri dalam Belanjawan 2027 dengan lebih suara bersetuju, selepas dibahas 42 Ahli Parlimen.

Persidangan bersambung esok.

-- BERNAMA