BRUSSEL/COPENHAGEN, 2 Nov (Bernama-dpa) -- Penjenayah siber sekali lagi menyasarkan sistem penyejukan di pasar raya Eropah, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Di Belgium, Sweden, Ireland, Luxembourg, Estonia dan Belanda, penyerang menyebabkan peti sejuk dan peti pembeku menjadi lebih panas, lapor beberapa media tempatan pada Isnin.
Di Belgium, pasar raya yang terjejas termasuk Delhaize, Carrefour dan Spar. Penyedia perkhidmatan penyejukan Sabcobel memaklumkan bahawa kira-kira 20 sistem telah terjejas setakat ini.
Skala insiden di Belgium adalah jauh lebih kecil berbanding serangan serupa di Perancis pada pertengahan bulan lepas, yang menyaksikan kira-kira 150 kedai terjejas.
Sabcobel mengesahkan bahawa sistem berkenaan telah ditukar ke mod nyahbeku secara kawalan jauh. "Kami mula mengerahkan juruteknik pada 1 pagi tadi bagi mengawal keadaan," kata Ketua Pegawai Eksekutif Sabcobel, Stephan Moelans kepada agensi berita Belga.
Di Sweden, pasar raya turut melaporkan peningkatan suhu secara tiba-tiba dalam sistem penyejukan mereka yang menjejaskan "sejumlah kecil cawangan", kata ketua komunikasi kumpulan pasar raya ICA kepada agensi berita Sweden TT.
Enam pasar raya milik rangkaian Coop turut melaporkan masalah pada sistem penyejukan mereka.
Penyiar Ireland RTE melaporkan bahawa 13 pasar raya terjejas di Ireland. Sebagai langkah berjaga-jaga, makanan dingin dan sejuk beku telah ditarik balik daripada jualan di cawangan yang terjejas. Di Belanda, sekurang-kurangnya 17 kedai kecil terjejas, menurut syarikat teknologi penyejukan Danfoss.
Satu kes turut dilaporkan di Estonia, apabila penyerang dipercayai mendapat akses kepada komputer kawalan sistem penyejukan Danfoss versi lama yang masih belum dikemas kini.
-- BERNAMA-dpa