Am 02/11/2026 10:37 PM

Niaga Hadapan MSM Ditutup Rendah

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Niaga Hadapan MSM Ditutup Rendah

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 2 Nov (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup lebih rendah hari ini selepas terjejas oleh kejatuhan dalam harga minyak mentah dan kebimbangan terhadap lambakan inventori Malaysia.

Peniaga Proprietari Iceberg X Sdn Bhd, David Ng berkata, kerugian bagaimanapun dihadkan oleh Bursa Komoditi Dalian (DCE) dan eksport Oktober minyak sawit Malaysia yang lebih kukuh, yang telah memberikan beberapa sokongan.

“Angka Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) pada bulan lepas menunjukkan bahawa stok minyak sawit Malaysia berada pada 3.5 juta tan, satu rekod tertinggi. Pengeluaran dijangka kekal memuncak, yang akan memberi kesan negatif kepada harga.

“Kami melihat sokongan serta-merta pada paras RM4,550 satu tan, manakala rintangan dijangka pada RM4,750 satu tan, dengan arah harga minyak mentah kekal sensitif terhadap perkembangan inventori serta harga minyak mentah,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Ketua Penyelidikan Komoditi Sunvin Group dari Mumbai, Anilkumar Bagani berkata eksport minyak sawit Malaysia pada Oktober yang dianggarkan oleh Intertek Testing Services adalah  pada 1.65 juta tan, menokok 45.41 peratus berbanding 1.13 juta tan yang disaksikan semasa September.

Beliau berkata pasaran kini sedang menunggu data eksport sebulan penuh daripada juruukur kargo Amspec Agri Malaysia dan Societe Generale de Surveillance, selain jangkaan pengeluaran daripada Persatuan Pengilang Minyak Sawit Selatan Semenanjung, Persatuan Minyak Sawit Malaysia dan UOB Kay Hian, menjelang tinjauan bekalan serta permintaan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Oktober 2026.

“Kerajaan Malaysia dijangka mengetepikan cukai eksport MSM untuk membantu meringankan beban inventori yang tinggi dan dilaporkan sedang mendapatkan maklum balas daripada pihak berkepentingan industri.

“Sehingga ini berlaku, pasaran berkemungkinan kekal berjaga-jaga,” tambahnya.

Pada penutupan, kontrak November 2026 susut RM16 kepada RM4,433 satu tan, Disember 2026 turun RM34 kepada RM4,554, Januari 2027 merosot RM32 kepada RM4,649, Februari 2027 adalah RM28 lebih rendah kepada RM4,733, Mac 2027 menurun RM24 kepada RM4,802 dan April 2027 melemah sebanyak RM18 kepada RM4,845 satu tan.

Jumlah dagangan merosot kepada 57,464 lot berbanding 97,010 yang disaksikan pada Jumaat lepas, manakala kepentingan terbuka menyusut kepada 334,103 kontrak daripada 337,166 sebelumnya.

Harga MSM fizikal untuk November Selatan berkurangan sebanyak RM40 kepada RM4,420 satu tan.

-- BERNAMA