Ekonomi 02/11/2026 09:02 PM

Anak Syarikat ISF Group Dapat Projek Pusat Data Hiper Skala Port Dickson Bernilai RM83.2 Juta

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Anak Syarikat ISF Group Dapat Projek Pusat Data Hiper Skala Port Dickson Bernilai RM83.2 Juta

KUALA LUMPUR, 2 Nov (Bernama) -- Anak syarikat milik penuh ISF Group Bhd, Yeo Plumber Sdn Bhd telah memperoleh projek pusat data berskala hiper di Port Dickson, Negeri Sembilan dengan nilai kontrak gabungan sebanyak RM83.2 juta dari sebuah kumpulan kejuruteraan awam dan pembinaan bangunan yang berpangkalan di Malaysia.

Penyedia penyelesaian secara menyeluruh itu berkata tiga daripada kontrak itu, berjumlah kira-kira RM73.3 juta, meliputi pemasangan sistem air penyejukan, sistem penuaian air hujan, retikulasi air dan perkhidmatan sanitari untuk pembangunan pusat data tersebut.

“Kontrak keempat, bernilai kira-kira RM9.9 juta merangkumi kerja-kerja infrastruktur pembetungan luaran.

“Dengan empat kemenangan kontrak ini, tempahan dalam tangan ISF yang belum dibilkan meningkat kepada RM225.5 juta, memberikan kumpulan itu keterlihatan pendapatan yang lebih besar sepanjang tahun kewangan berakhir 31 Dis 2029,” katanya melalui satu kenyataan.

Kontrak itu dijadualkan siap secara berperingkat antara November 2026 hingga Julai 2028, katanya.

Pengarah Urusan ISF Jeff Ai Boon Chen berkata anugerah itu mencerminkan keupayaan syarikat yang semakin berkembang dan keyakinan yang diletakkan dalam keupayaannya bagi melaksanakan projek yang semakin besar dan kompleks, selain menunjukkan kesediaannya untuk bersaing bagi projek dalam skala yang lebih besar.

“Kemunculan Malaysia sebagai hab pusat data serantau terus menjana peluang besar untuk menyokong kerja-kerja infrastruktur. 

“Dengan pusat data kini menyumbang sebahagian besar perniagaan kami, kami percaya ISF berada pada kedudukan yang baik untuk mengambil peluang selanjutnya dalam pasaran yang semakin berkembang ini, disokong oleh rekod prestasi kami yang mantap dalam menyampaikan penyelesaian perpaipan berspesifikasi tinggi,” katanya.

Memandang ke hadapan, beliau berkata kumpulan itu kekal optimistik mengenai prospek pertumbuhannya, disokong oleh kedudukannya yang sihat, tempahan dalam tangan yang semakin melonjak selain mengembangkan portfolio projeknya. Kekuatan ini meletakkan syarikat dengan baik untuk meneruskan kontrak berskala lebih besar dan memanfaatkan peluang yang muncul.

 

-- BERNAMA