Oleh Rashidah Abd Rahim
ALOR GAJAH, 2 Nov (Bernama) -- Calon Pakatan Harapan (PH) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Taboh Naning, Junainah Sahat, 41, berhasrat memberikan tumpuan kepada pemerkasaan ekonomi kawasan itu, sekiranya diberi mandat oleh rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.
Mesra dengan panggilan Ajue, beliau berkata Taboh Naning berpotensi untuk dibangunkan sebagai hab keusahawanan dan logistik berikutan kedudukannya yang strategik berhampiran Plaza Tol Simpang Ampat, sekali gus mampu menarik pelaburan serta mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.
"Taboh Naning perlu diberi lebih kemajuan. Kita boleh menarik pelabur untuk membangunkan industri kecil sama ada dalam sektor pembuatan makanan, pertanian atau logistik yang seterusnya membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada anak muda.
"Saya mahu anak muda tempatan mempunyai peluang pekerjaan di kawasan sendiri dan tidak perlu berhijrah ke negeri lain untuk mencari pekerjaan," katanya kepada Bernama ketika minum petang di Taboh Naning, di sini hari ini.
Beliau berkata pembangunan DUN itu juga perlu merangkumi kawasan pedalaman, termasuk laluan menghala ke Lubok China dan Ayer Molek, yang masih memerlukan perhatian dari segi kemudahan serta pembangunan ekonomi.
Selain itu, Junainah turut meneliti aspek pemerkasaan ekonomi masyarakat Orang Asli di Kampung Bukit Payung, termasuk menyediakan kemudahan latihan keusahawanan dan ruang niaga bagi membantu mereka menjana pendapatan sendiri.
"Usaha ini tidak hanya melibatkan pemberian bantuan, sebaliknya membuka laluan dan membina keupayaan masyarakat Orang Asli, antaranya menerusi pengeluaran produk makanan tempatan atau kraf tangan yang berpotensi dikembangkan sebagai sumber pendapatan," katanya.
Ibu kepada enam cahaya mata berusia antara tujuh hingga 16 tahun itu berkata beliau juga mahu menyediakan kemudahan riadah dan sukan untuk golongan muda, termasuk masyarakat Orang Asli, bagi menggalakkan aktiviti komuniti yang lebih aktif.
Berhubung permasalahan rakyat, Junainah berkata kejadian banjir berulang di kawasan Brisu antara isu yang akan diberi perhatian serius.
Beliau berkata kejadian itu yang berkemungkinan berpunca daripada sistem perparitan dan faktor sungai yang sempit, perlu ditangani secara komprehensif agar penduduk setempat tidak terus dibelenggu masalah sama setiap tahun.
Pada PRN Melaka ke-16, Junainah bakal berdepan saingan satu lawan satu menentang penyandang kerusi DUN Taboh Naning iaitu Datuk Zulkiflee Mohd Zin daripada Barisan Nasional (BN).
SPR menetapkan 14 Nov sebagai hari pengundian PRN Melaka, manakala pengundian awal pada 10 Nov.
Bagi mendapatkan berita terkini PRN Melaka ke-16, layari https://election.bernama.com/prn/melaka/2026/.
-- BERNAMA