KUALA LUMPUR, 2 Nov (Bernama) -- Kerajaan sedang menyelaras draf Rang Undang-Undang Kanak-Kanak (Pindaan) 2026 untuk dikemukakan kepada Jemaah Menteri bagi pertimbangan, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) M. Kulasegaran.
Beliau berkata pindaan itu bagi menambah baik Seksyen 97 Akta Kanak-Kanak 2001 [Akta 611] susulan pemansuhan hukuman mati mandatori dan hukuman pemenjaraan sepanjang hayat pada 2023.
Ia bertujuan menetapkan pendekatan hukuman yang lebih berkadar serta menghapuskan penahanan penjara tanpa had masa khusus terhadap pesalah bawah umur.
Kulasegaran berkata di bawah peruntukan Subseksyen 97(2) Akta 611 sedia ada, mahkamah hendaklah memerintahkan pesalah kanak-kanak ditahan di penjara selama yang diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong atau Yang Dipertua Negeri mengikut undang-undang berkenaan tanpa menetapkan tempoh maksimum tahanan yang khusus.
“Kerajaan MADANI komited untuk menambah baik kerangka perundangan ini bagi memastikan pendekatan penghukuman yang lebih jelas, berkadar dan mengambil kira prinsip keadilan kepada kanak-kanak serta kepentingan keselamatan awam,” katanya ketika menggulung perbahasan RUU Perbekalan (Belanjawan) 2027 peringkat jawatankuasa bagi Jabatan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata Jawatankuasa Khas Kajian dan Pindaan Seksyen 97 Akta 611 telah ditubuhkan bagi meneliti cadangan menambah baik peruntukan itu dengan mengambil kira prinsip kepentingan terbaik kanak-kanak, pemulihan dan rehabilitasi serta amalan terbaik pada peringkat antarabangsa.
Kulasegaran berkata hasil kajian telah membawa kepada persetujuan Jemaah Menteri pada 30 Sept lepas terhadap empat penetapan dasar bagi pindaan Seksyen 97 Akta 611.
Beliau berkata cadangan dasar berkenaan kemudian telah dibentangkan kepada Majlis Raja-Raja pada 14 Okt lalu untuk pertimbangan dan penelitian.
Sementara itu, berhubung cadangan penubuhan Unit Penggubalan Undang-Undang di Parlimen, Kulasegaran berkata langkah itu progresif dan selaras dengan matlamat memperkukuh kebebasan serta autonomi institusi perundangan negara.
"Perkara ini wajar diberikan perhatian dalam kerangka pelaksanaan Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 tertakluk kepada penelitian Majlis Perkhidmatan Parlimen serta keperluan perjawatan dan perundangan yang berkaitan,” katanya.
Beliau berkata penubuhan unit itu membolehkan Parlimen membangunkan kepakaran penggubalan undang-undang sendiri, khususnya bagi membantu Ahli-ahli Parlimen menyediakan Private Members' Bills, dan cadangan pindaan undang-undang tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada kepakaran penggubalan di bawah cadangan eksekutif.
-- BERNAMA