DHAKA, 29 Nov (Bernama-Anadolu) -- Sekurang-kurangnya dua orang maut dan beberapa lagi cedera, termasuk akibat tembakan, pada Ahad apabila penyokong pemimpin Bangladesh yang digulingkan Sheikh Hasina menyekat laluan utama di daerah Shariatpur di bahagian tengah selatan negara itu dan bertempur dengan aktivis parti pemerintah BNP, lapor Anadolu Ajansi.
Menteri Dalam Negeri Salahuddin Ahmed memberitahu pemberita di Dhaka bahawa dua orang maut berhubung insiden berkenaan.
“Satu insiden berlaku di kawasan itu pada sebelah pagi. Sekumpulan individu tiba di kawasan Jambatan Padma, dipercayai dengan tujuan mendirikan sekatan, namun difahamkan pertikaian dalaman atau pertempuran tercetus sesama mereka,” kata beliau.
Agensi penguat kuasa undang-undang, termasuk Pengawal Sempadan Bangladesh, sedang menangani situasi itu, katanya sambil menambah bahawa keadaan kini terkawal.
Terdahulu, penyokong Hasina menyekat Jambatan Padma yang menghubungkan wilayah barat daya Bangladesh dengan Dhaka dan kawasan lain di negara itu, sebagai sebahagian daripada sekatan pergerakan yang diumumkan menjelang kepulangan Hasina dari India yang dirancang pada Disember.
Kemudian, penyokong Liga Awami yang kini diharamkan bertempur dengan aktivis parti pemerintah, Parti Nasionalis Bangladesh (BNP), yang berkumpul di kawasan itu untuk membantah sekatan pergerakan berkenaan.
The Daily Star yang memetik polis melaporkan bahawa seorang individu maut dan dua lagi cedera parah akibat tembakan dalam pertempuran itu.
Protes berkenaan menyebabkan lalu lintas terhenti selama kira-kira 45 minit. Polis menyatakan bahawa sekurang-kurangnya 12 atau 13 motosikal turut dibakar dalam insiden itu.
Hasina berkata beliau merancang untuk pulang ke Bangladesh pada Disember meskipun berdepan hukuman mati.
Beliau melarikan diri ke India pada Ogos 2024 selepas kebangkitan rakyat yang diterajui pelajar menamatkan pemerintahannya selama 15 tahun dan sejak itu kekal berada di negara berkenaan.
Sekurang-kurangnya 1,400 orang maut dan lebih 20,000 lagi cedera dalam tindakan keras di bawah kepimpinan Hasina ketika kebangkitan itu, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
-- BERNAMA-ANADOLU